AYER KEROH - Seorang ibu tunggal tujuh anak tidak menyangka tindakannya meminjam hanya RM450 daripada ah long mendatangkan malapetaka besar, apabila dia ditahan polis dan terpaksa duduk di dalam lokap selama tujuh hari.
Semuanya berpunca apabila Salmah (bukan nama sebenar), 39, dituduh menjadi ‘keldai ah long’ selepas akaun banknya digunakan sebagai tempat peminjam lain membayar bunga pinjaman dilakukan.
Menurut Salmah, masalah timbul apabila kesemua peminjam diugut serta diancam ah long terbabit selepas gagal membayar bunga lantaran mereka membuat laporan polis sehingga namanya disabitkan dan dituduh terlibat.
“Saya membuat pinjaman pada 29 Disember tahun lalu sebanyak RM450 daripada ah long terbabit selepas mendapat tahu daripada risalah yang dihantar ke rumah.
“Akibat sangat terdesak, saya turutkan sahaja syarat ah long terbabit biarpun terpaksa menyerahkan tiga kad ATM milik saya kepadanya namun tidak sangka akaun saya digunakan untuk aktivitinya,” katanya.
Tertekan dengan masalah yang menimpa, beliau akhirnya merujuk perkara itu di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, semalam.
Salmah menjelaskan punca dia begitu terdesak meminjam wang berkenaan bagi keperluan tambang untuknya balik ke kampung di Kedah.
“Selepas bercerai dengan bekas suami pada Mei 2012 lalu, saya hilang tempat bergantung lantaran terpaksa bekerja di kantin sekolah.
“Sehinggalah saya menemui seorang lelaki yang sudi mengambil sebagai isteri dan niat saya mahu pinjam RM450 untuk perbelanjaan pulang ke Kedah bagi memberitahu ibu dan ayah tentang hasrat saya,” katanya.
Ibu tunggal itu juga berkata, paling membimbangkannya kini apabila bakal suaminya juga turut ditahan polis bagi tujuan untuk membantu siasatan.
“Bukan itu sahaja, sejak ditahan polis saya dibuang kerja dan bila-bila masa akan dihalau dari rumah sewa kerana tidak dapat membayar wang sewa bulanan.
“Malah motosikal saya juga sudah kena tarik, maka sebab itulah saya datang ke Pembela BN bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, itulah cara terbaru ah long beroperasi dengan menggunakan nama peminjam sendiri untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Katanya, Pembela BN akan menyediakan bantuan guaman sekiranya ibu tunggal terbabit dan bakal suaminya di dakwa di mahkamah.
“Kita hendak nasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan pihak ah long yang menjadikan kesusahan orang lain sebagai tempat mengaut keuntungan.
“Kebiasaannya orang yang terdesak akan buat apa sahaja semata-mata mahu mendapatkan pinjaman sehingga sanggup menyerahkan kad bank dan akhirnya diri sendiri dijadikan mangsa,” katanya.