TELUK INTAN - Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, 53, dipilih sebagai calon BN untuk bertanding dalam PRK Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perkara tersebut berkata bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu adalah pilihan yang sesuai kerana telah lama berkecimpung dalam politik dan mengenali hati pengundi di kawasan itu.
"Walaupun pada pilihan raya (umum) lepas beliau mengalami kekalahan, (dan) saya fikir ini adalah kebangkitan semula parti Gerakan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN serta melancarkan jentera BN bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini, hari ini.
Mah, anak jati Teluk Intan pernah menjadi anggota Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah lulusan ijazah sarjana muda sains dari London School of Economic dan sarjana dalam bidang pembuatan dari City University London, serta ijazah perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas. - Bernama