SHAH ALAM – Penganalisis menyifatkan penangguhan pembentangan rang undang-undang persendirian bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan pada sidang Dewan Rakyat itu satu keperluan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan, dan Pengurusan Awam, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat penangguhan itu memberi ruang konsensus antara Pas dengan Umno terhadap isu-isu berbangkit daripada hudud ini.
“Penangguhan ini perlu kerana situasi Malaysia berbeza dgn Brunei, Pakistan dan Sudan. Negara-negara berkenaan mempunyai majoriti orang Islam melebihi 80 peratus.
“Lagipun perlembagaan negara ini tidak begitu jelas membenarkan hudud. Ada beberapa isu yang kontroversi. Yang penting penangguhan ini memberi ruang konsensus antara Pas dan Umno mengenai isu-isu berbangkit daripada hudud ini,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Menyentuh soal cadangan penubuhan jawatankuasa teknikal hudud di peringkat kebangsaan, beliau berkata ia perlu melibatkan pakar-pakar dari pelbagai bidang yang berkenaan termasuk dari negara yang telah melaksanakan hudud.
“Saya cadangkan bukan sahaja pakar undang-undang Islam tapi juga pakar undang-undang sivil khususnya dalam bidang perlembagaan, jenayah, prosedur jenayah serta pembuktian dan keterangan.
“...Pakar sosiologi dan hubungan kaum juga pakar dari luar seperti dari Pakistan dan Sudan yang telah lama melaksanakan hudud,” katanya.
Meskipun hudud hanya berlaku kepada orang Islam, beliau akui pihak terbabit perlu memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam bagi memastikan semua rakyat faham dan tidak prejudis.
“Kajian menyeluruh itu penting. Tapi apakah ruang tempohnya untuk mengkaji pelaksanaannya? Adakah setahun, 5 tahun, 10 tahun? Sukar mencari jawapannya.
“(Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kelantan) perlu menjelaskan kepada orang bukan Islam kerana secara peribadinya hudud untuk orang Islam saja.
“Ia tidak selaras dengan undang-undang hak asasi secara keseluruhannya. Akhirnya kita perlu memastikan semua kaum faham tentang hudud dan tidak prejudis terhadapnya,” katanya yang menyifatkan Umno dan Pas perlu bekerjasama bagi merealisasikan hudud ekoran Pas memerlukan sokongan majoriti ahli BN di Parlimen.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan kajian tentang hudud sudah lama dibuat namun Pas ‘enggan’ mendengar tentang kajian itu.
“Sebelum dia (Pas) nak buat undang-undang ini, kaji dulu. Nak masuk ikut mana, nak jalan ikut mana. Apa pilihan A, apa pilihan B. Ini main langgar saja.
“Saya fikir ini salah Pas bukan masalah sistem. Bukan kita tak kaji. Kita kaji tapi dia (Pas) tak dengar,” katanya.
Beliau juga membangkitkan soal keseriusan Umno membantu dalam hal ini.
“Asasnya tak ada. Main buat saja. Itu yang timbul masalah. Sekarang tangguh pula. Sebab kekangan dan cabaran yang dikemukakan. Saya nampak cabarannya terlalu kuat dan Umno pula dah mula nak mengundur diri.
“Kalau betul-betul Umno serius, kenapa tidak Umno yang bentang memandangkan dia kerajaan? Kalau macam ini, sampai kiamat pun susah nak jalan (laksana),” katanya.