Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Umno berjaya selesai krisis Terengganu kurang 48 jam, kata Ahmad Maslan

$
0
0
THE MALAYSIAN INSIDER
 
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) mengatakan Umno berjaya menyelesaikan krisis politik di Terengganu dalam masa kurang daripada 48 jam.

Beliau berkata walaupun krisis ini memberikan kesan negatif kepada Barisan Nasional (BN), kesan tersebut tidak terlalu ketara kerana isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

"Kesan negatif memang ada, tetapi kurang. Sekiranya masalah ini berlanjutan hingga dua minggu misalannya, mungkin kesan negatifnya akan lebih ketara.

"Namun, ia hanya bertahan untuk tempoh 48 jam sahaja, maka saya kira ia tidak akan memberikan kesan yang besar (kepada parti)," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurut ahli Parlimen Pontian itu, keputusan menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dengan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu sudah lama dibuat.

Katanya, notis yang diberikan kepada Ahmad Said untuk berundur adalah terlalu panjang dan ia bukanlah tindakan terburu-buru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, tidak sepatutnya timbul isu-isu tentang ketidakprihatinan perdana menteri terhadap Ahmad Said berkenaan majlis perkahwinan anaknya baru-baru ini.

"Kita terima jemputan perkahwinan anak Datuk Ahmad Said pada 10 Mei di Kuala Terengganu. Pada 17 Mei itu adalah kenduri menyambut menantu, dan bukanlah kenduri yang pertama.

"Satu lagi, perkara ini sudah diberitahu lama, sebenarnya kita boleh sesuaikan tarikh-tarikh untuk program peribadi kita, supaya tidak timbul spekulasi seperti yang terjadi baru-baru ini," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Maslan berharap agar Ahmad Said, yang turut disifatkan sebagai sahabatnya, kembali kepada rasional dan jangan terlalu mengikut emosi.

"Kita melaksanakan kerja untuk rakyat dan janganlah kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti dan janganlah kepentingan jawatan mengatasi kepentingan perjuangan," katanya dipetik daripada Bernama.

Beliau turut berharap semua pemimpin Umno Terengganu, terutamanya di peringkat bahagian, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya memberi sokongan dan kepercayaan menteri besar baru.

Ahmad Said hari ini menyatakan kekesalannya kepada Najib kerana keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Tengku Putera memberitahu pemberita, presiden Umno itu bercakap dengan Ahmad Said menerusi telefon dan bekas menteri besar itu kesal kerana menimbulkan kekecohan di negeri itu sejak semalam.

Najib mengadakan pertemuan dan makan tengah hari dengan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri BN Terengganu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tengah hari ini.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722