Di sebalik rungutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta kos sara hidup, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebaliknya tampil menggesa pengguna bekerja lebih kuat untuk mendapat lebih pendapatan.
Pemimpin PPIM Nadzim Johan berkata, ekoran kenaikan itu, pengguna disaran bangun dan bekerja lebih keras dan tidak harus hanya duduk menunggu semata-mata.
"Buat sesuatu, cari pendapatan lebih," katanya dalam forum mengenai kenaikan harga barang di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di ibu negara hari ini.
Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peningkatan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia.
Ini turut mendorong sekumpulan aktivis NGO menganjurkan perhimpunan membantahnya di Dataran Merdeka pada malam ambang tahun baru yang kini diisytihar perhimpunan haram oleh polis.