Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi amaran PAS mungkin tidak menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar Umno menjadi wakil bebas sebagai sekutu.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Adun Umno yang mengikut langkah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said adalah mengikut emosi semata-mata kerana masih ada lagi ruang perbincangan yang boleh dilakukan dalam menangani krisis di negeri itu.
"Masih ada jalan dan ruang perbincangan. Saranan saya kepada Ahmad Said dan Adun Terengganu yang lain perlu memikirkan kepentingan orang Melayu."
"Sekiranya mereka keluar dan mahu menyertai PAS, adakah mereka fikir parti itu mahu menerima mereka? Tidak mungkin dan dari segi politik masa depan mereka tidak cemerlang," katanya kepada The Malaysian Insider.
Katanya tindakan keluar Umno bukan merupakan satu langkah penyelesaian yang bijak.
Shahidan juga tidak menolak kemungkinan akan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sekiranya jumlah kerusi Pakatan Rakyat (PR) melebihi Barisan Nasional (BN).
Selepas peletakan jawatan Ahmad, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu di depan Sultan Terengganu, namun enam Adun Umno tidak menghadiri majlis bersejarah itu.
Ahmad bersama dua lagi Adun Umno, Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Adun Ajil) menghantar surat meninggalkan Umno dan mengisytiharkan menjadi Adun Bebas.
Ini menjadikan menteri besar Terengganu hilang majoriti dalam DUN apabila hanya mempunyai 14 Adun berbanding PR 15 (PAS 14, PKR 1) dan Bebas 3 dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.
"Ahmad said perlu banyak bersabar, saya juga pernah mengalami nasib yang sama apabila ada pihak ketiga tidak mahu saya menjadi menteri besar.
"Walaupun begitu dan pernah berasa kecewa, saya tidak pernah keluar parti," katanya.
Kemelut dalaman BN Terengganu memaksa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun berjumpa bekas menteri besar petang ini.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Muhyiddin dijangka tiba petang ini di Terengganu dan akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi mencari jalan penyelesaian