SANGAT memalukan apabila hampir separuh iaitu 10 daripada 22 pemilihan cabang PKR Selangor terpaksa dibatalkan berikutan pelbagai insiden yang mencemari proses pengundian dijalankan, kelmarin.
Selain kawasan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kuala Selangor dibatalkan, cabang Sabak Bernam, Klang, Kota Raja, Kapar, Sungai Besar, Subang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Selayang turut terlibat.
Kekecohan tercetus selepas anggota parti dikatakan tidak dapat mengundi sekali gus menimbulkan ketegangan kira-kira jam 1.45 petang kelmarin.
Pembatalan itu dibuat pada jam 2.30 petang ekoran kira-kira 30 penyokong calon Ketua Cabang, S Manikavasagam mendakwa tidak berpuas hati dengan proses pemilihan kerana terdapat unsur penipuan.
Abdul Khalid turut melahirkan kekesalan dan memohon maaf menerusi Twitternya. Beliau menyeru parti berkenaan untuk melakukan reformasi secara menyeluruh.
“Saya meminta agar setiap aduan tentang penipuan hendaklah diadukan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat KEADILAN. #SidangMedia. “Aduan & tindakan ini penting untuk kita tunjukkan bahawa KEADILAN ialah parti yang bersih dlm tatacara mengendalikan pemilihan. #SidangMedia.
“Saya memohon maaf kepada seluruh anggota KEADILAN kerana kegagalan proses pengundian. Kita benar-benar memerlukan reformasi yang menyeluruh."
Peliknya, dalam pemilihan yang boleh dikatakan hanya untuk peringkat kecil, berlaku pula pelbagai insiden yang tidak sewajarnya. Di Selayang, berlaku kes di mana peti undi dilarikan dipercayai bagi membatalkan proses undian kira-kira jam 3 petang.
Ia turut disusuli dengan tindakan beberapa penyokong calon bertindak agresif cuba memasuki dewan sambil melaungkan proses undian batal.
Malah agak melucukan apabila bunga ros turut menjadi isu pertikaman lidah antara kedua-dua calon Ketua Cabang Shah Alam.
Yaakob Sapari menegur lawannya, Rodziah Ismail yang mengedarkan bunga tersebut di pintu masuk Dewan Teratai, Seksyen 19, Shah Alam. Yaakob dikarakan tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai ‘menggulagulakan pengundi' tetapi Rodziah mempertahankan tindakannya hanya untuk sambutan Hari Ibu yang jatuh pada hari sama.
Tindakan lebih ganas berlaku ketika pemilihan PKR Cabang Kota Raja yang akhirnya terpaksa dibatalkan ketika proses pengundian apabila sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melemparkannya ke lantai dewan pusat pengundian di Dewan Kompleks Sukan MPK. Begitu juga dengan kes di mana P Krishnasamy, Zudin Asrmad dan Arahyah Ibrahim sepakat memboikot proses pemilihan Cabang Klang yang didakwa tidak telus menyebabkan ia turut dibatalkan.
Ketiga-tiga calon bagi jawatan Ketua Cabang itu mendakwa wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj proses pemilihan dengan menukarkan senarai calon yang diberikan kepada para pengundi.
Suasana hangat terus berlaku apabila calon Ketua Cabang PKR Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dilaporkan nyaris ditumbuk sekumpulan ahli parti yang mencetuskan provokasi di dewan selepas beliau masuk untuk mengemukakan bantahan terhadap pengundian didakwa tidak telus.
Sekumpulan lelaki dikatakan membaling kerusi dan meja menyebabkan kertas undi berselerak. Malah kekecohan tersebut berlarutan hingga ke luar dewan sehingga Ahli Parlimen Kuala Langat itu terpaksa berlari ke arah kenderaan mereka untuk menyelamatkan diri daripada dikejar. Bagaimanapun, dalam keadaan huru-hara itu proses pemilihan bagi Cabang Kuala Langat tidak dibatalkan.
Insiden-insiden yang berlaku mungkin dianggap situasi biasa dalam pertandingan membabitkan isu politik. Tetapi barangkali mereka yang terlibat tidak sedar ia mencemarkan imej parti yang sebelum ini terkenal dengan slogan KEADILAN, mempunyai semangat reformasi yang sering dilaungkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah PKR yang juga sebahagian komponen PR sering dengan gah melaungkan tuntutan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menjalankan pilihan raya yang adil dan bersih.
Kejadian seperti ini jelas mencalitkan imej negatif terhadap parti tersebut yang dianggap seperti ‘cakap tak serupa bikin’.
Ramai penyokong parti melahirkan kekesalan terhadap insiden kekecohan seperti itu. Proses pengundian untuk menentukan pemimpin yang dipilih bagi menguatkan parti bertukar menjadi medan ‘peperangan’ sesama sendiri.
Persoalannya mengapa insiden kekecohan seperti ini boleh timbul, apa sudah jadi?