Wakilnya yang ditugaskan membawa wang itu tiba di Dewan Sri Pinang pada pukul 10.15 pagi namun pihak SPR enggan menerima deposit tersebut.
GEORGE TOWN: Lim Chee Khoon, wakil Penang Front Party (PFP), sebuah gabungan 44 Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Pulau Pinang, kesal dan kecewa kerana hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor tidak kesampaian selepas gagal menyerahkan wang deposit dalam tempoh ditetapkan.
Lim, 52, anak jati Bukit Gelugor, berkata beliau tiba di pusat penamaan calon di Dewan Sri Pinang pada pukul 9.45 pagi bagaimanapun berlaku salah faham berkaitan wang deposit yang perlu dibayar sebelum pukul 10 pagi.
“Selepas perbincangan antara wakil jawatankuasa penaja PFP dan parti bersetuju meletakkan saya sebagai calon, kami telah buat persiapan dan tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.45 pagi.
“Bagaimanapun selepas pukul 10 pagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu menerima permohonan saya berikutan wang dibawa tidak mencukupi dandalam masa yang sama wakil PFP sedang dalam perjalanan ke dewan untuk membayar deposit berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya wakilnya yang ditugaskan membawa wang itu tiba di Dewan Sri Pinang pada pukul 10.15 pagi namun pihak SPR enggan menerima deposit tersebut.
“Kami tidak tahu wang itu perlu diserahkan sebelum pukul 10 pagi dan menurut SPR ia adalah peraturan baharu kerana sebelum ini deposit itu boleh dibayar sehingga pukul 12 tengah hari,” katanya.
Lim yang juga Anggota Jawatankuasa penaja PFP berkata pihaknya tidak akan berputus asa dan akan bertanding jika ada pilihan raya kecil di Pulau Pinang pada masa akan datang.
PFP, gabungan 44 NGO kaum Cina di Pulau Pinang, akan menubuhkan sebuah parti politik baharu bagi membela rakyat di negeri ini.
Katanya objektif PFP adalah untuk memperjuang masa depan rakyat Pulau Pinang bagi memastikan kekayaan negeri dan pembangunan diagih sama rata agar dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini. Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) berkata pihaknya terpaksa menolak permohonan wakil PFP kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan SPR.
“Daripada lima kertas pencalonan hari ini, kami terpaksa menolak wakil seorang calon selepas tidak memenuhi syarat berikutan tidak membawa wang yang mencukupi.
“Dalam syarat pilihan raya setiap wakil perlu menyerahkan deposit sebanyak RM10,000 untuk SPR dan RM5,000 untuk Pihak Berkuasa Tempatan sebelum pukul 10 pagi, calon berkenaan gagal berbuat demikian jadi kita terpaksa tolak permohonannya,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon bebas.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor Kapten (B) Anuar Yahya mengumumkan bahawa Ramkarpal Singh, 38, sebagai calon DAP, Naib Presiden PCM Datuk Huan Cheng Guan, 53, mewakili parti itu manakala Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46, sebagai calon Bebas.
Mohamed Nabi Bux akan menggunakan simbol bunga manakala Abu Backer Sidek simbol kuda. Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu selepas MCA memutuskan untuk tidak bertanding.- Bernama