Kerajaan juga perlu berjimat 
Kedai Rakyat 1Malaysia perlu diperluaskan supaya rakyat tidak terbeban kenaikan harga.


SHAH ALAM - Masalah kenaikan kos hidup tidak seharusnya dipindahkan kepada rakyat semata-mata sebaliknya kerajaan juga perlu menunjukkan teladan dengan berjimat, terutama bagi perbelanjaan yang kurang perlu.
   
Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pemimpin kerajaan perlu menanggung beban yang sama selain mengambil langkah proaktif untuk mengawal harga barang.

"Ini penting kerana peniaga biasanya ambil kesempatan dengan menaikkan harga barang secara luar biasa atas alasan kenaikan kos dan ini akan lebih membebankan rakyat," katanya.

Sivamurugan mengakui langkah berjimat memang perlu tetapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan juga mesti dikawal supaya tidak lebih menghimpit kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.

"Saya yakin dalam keadaan macam ini, akan ada pihak ambil kesempatan terutama apabila orang ramai lebih cenderung untuk menyalahkan kerajaan jadi tak dapat tidak, pemantauan dan kawalan mesti dilakukan," tegasnya.

Dalam pada itu, kata Sivamurugan, pendekatan menjual barangan pada harga yang lebih murah berbanding kedai biasa seperti yang dipraktikkan Kedai Rakyat 1Malaysia perlu diperluaskan supaya faedahnya dapat dinikmati anggota masyarakat yang lebih ramai.

“Jika usaha seperti ini dikembangkan, mungkin sedikit sebanyak ia mampu kurangkan sedikit beban  rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Menurut Sivamurugan lagi, 2014 akan jadi tahun yang mencabar bagi rakyat kerana akan berlaku pelbagai kenaikan kos dan tarif bermula bulan depan.

Pada 2 Disember lalu, kerajaan mengesahkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan berkuatkuasa Januari.

Kerajaan juga dijangka akan menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini.

Selain itu, tambang pengangkutan awam LRT dan monorel juga dijangka dinaikkan.