Najib usah sibuk dengan hutan hujan Belum-Temenggor sampai terlupa isu Kampung Chetti yang hampir musnah.
Presiden Kavyan ,Uthaya Sankar SB berkata beliau terharu dengan semangat serta kesungguhan Najib mengangkat hutan hujan Belum-Temenggor di Perak.
Menurut laporan Bernama semalama, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan berusaha membangunkan kawasan seluas 300,000 hektar itu sekiranya ia memenuhi kriteria sebagai tapak warisan dunia.
Uthaya merujuk kepada Kampung Chetti di Melaka yang sudah menerima pengiktirafan sebagai perkampungan warisan daripada Unesco itu berdepan dengan kemusnahan yang berlaku di depan mata.
Wakil Kavyan, katanya, telah beberapa kali berkunjung ke Kampung Chetti sejak 15 Disember 2013 dan menulis beberapa makalah serta mengeluarkan beberapa kenyataan media berhubung isu projek pembinaan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu.
Maklumat berkaitan isu penting ini boleh dirujuk di www.kampungchetti.blogspot.com yang diusahakan oleh Kavyan sebagai tanda solidariti.
Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sudah mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan itu yang ternyata melanggar peraturan.
Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek dua kondominium 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di tengah Kampung Chetti”.
“Malangnya, sehingga hari ini, janji BN tinggal janji; “Janji Dicapati”. Projek pembinaan yang bakal menghancurkan Kampung Chetti masih berjalan sehingga kini tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa, khasnya BN selaku kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” kata Uthaya.
Beliau berkata, besarlah harapan Kavyan supaya sebelum Najib dan BN sibuk dengan kempen mengangkat hutan hujan Belum-Temenggor sebagai tapak warisan dunia, eloklah Kampung Chetti diselamatkan terlebih dahulu.
Biarlah kisah Pak Kaduk yang lazim dalam kalangan budaya masyarakat Melayu sejak zaman nenek-moyang menjadi pengajaran supaya jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Semoga Najib sudi mengarahkan seluruh jentera BN meneliti pelbagai pendedahan di blog www.kampungchetti.blogspot.com dan segera bertindak menyelamatkan Kampung Chetti sebelum ia hanya tinggal debu dan runtuhan.