Mohamed Maliki Mohamed Rapiee 
Mohamed Maliki Mohamed Rapiee


BANGI - Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menyatakan kebimbangan dengan situasi penjawat awam yang dilihat tidak sensitif terhadap isu rakyat ketika ini terutamanya dalam menangung kos hidup.

Mengambil contoh satu kejadian baru-baru ini, Maliki berkata, seorang pegawai dari agensi awam berkata, sekiranya rakyat ingin membeli rumah teres bernilai RM300,000  sektor tersebut telah menyediakan banyak pilihan untuk dibeli.

"Pegawai berkenaan berkata, 'cuba cari di Dengkil. Kenapa mesti semua nak beli di kawasan KLCC, orang muda semua nak ‘enjoy’ begitu. Sedangkan saya ada dalam mesyuarat itu.

“Saya beritahu menteri, saya duduk di Bangi, saya merayau sampai ke Beranang, Pajam untuk cari rumah.  Saya cari, memang tak ada. Cuba cari sekarang ini rumah harga RM300,000 di Dengkil. Memang tak ada.

“Itu contohnya pemikiran seorang penjawat awam dengan hakikat yang sebenar rakyat bawahan, pelaksana dan pembuat dasar yang tak faham suasana sebenar di bawah. Jadi, kalau ini tak dapat ditemukan, jangan bercakap soal mendengar itu tadi,” katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu temu bual khas, hari ini.

Dalam pada itu, Maliki turut menyentuh soal pemikiran penjawat awam yang dilihat tidak faham situasi sebenar golongan rakyat bawahan.

"Saya bimbang kalau rakyat sudah tak mahu bercakap. Saya berharap rakan-rakan, tuan-tuan menteri yang bijak pandai ini, jangan melompat, melenting kalau rakyat bercakap.

"Menteri-menteri yang terlibat sepatutnya tidak melenting apabila rakyat menyuarakan kesusahan mereka.

“Kerana selagi mereka mahu bercakap, maknanya komunikasi masih wujud," jelasnya lagi.

Tambah Maliki, baik menteri mahupun penjawat awam lain perlu berubah menjadi pendengar yang baik.

Dalam hal ini, Maliki mengambil contoh paling hampir dengan masyarakat iaitu hubungan antara bapa dan anak.

“Kalau kita jadi bapa, anak kita merungut, merajuk, itu maksudnya dia masih menganggap kita sebagai tempat bergantung tetapi apabila dia sudah tidak merungut, kita masuk rumah dia keluar,  ajak makan tak mahu, itu apa petandanya?

“Sama ada dia masuk bilik ambil tali atau dia memberontak balik,” katanya.

Jelasnya, beliau bukan berniat untuk mengugut, namun itu hakikat yang berlaku pada masa kini.

“Saya bukan mengugut atau mengancam tapi di mana-mana begitu. Jadi, cubalah.

"Zaman selesa sudah berlalu maka kita kena ubah,” katanya.