Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa hukuman hudud tidak dikuatkuasakan kepada umat Islam sahaja tetapi kepada masyarakat bukan Islam juga.
Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman, berkata hudud dilaksanakan demi kesejahteraan negara dan ia mampu menghalang pesalah daripada melakukan jenayah.
"Ya, ia patut untuk semua. Bagi umat Islam ia penghapusan dosa dan kepada bukan Islam ia demi kepentingan negara dan keselamatan awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Isma di Bangi, Selangor, hari ini.
Abdullah berkata, pencuri yang melakukan jenayah curi perlu menerima hukuman yang sama tanpa mengira latar belakang kaum.
"Dengan ini, kaum Cina tidak boleh mencuri daripada orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Tidak adil jika hanya satu kaum dihukum dan yang lain tidak dihukum kerana mencuri, " katanya. –