SHAH ALAM - Cubaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan menyekat kebebasan berfikir dan bersuara dalam kalangan mahasiswa didakwa antara faktor penyumbang kemerosotan sistem pendidikan di negara ini.
Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa sekatan itu juga membuktikan sistem pendidikan kini di ambang bahaya dan berhadapan dengan masalah besar.
"Cubaan IPT untuk menyekat kebebasan berfikir dan bersuara menyumbang kepada kedudukan serta reputasi IPT kita pada tahap yang menyedihkan.
"Pihak UiTM lebih rela menjadikan kampus itu sebagai platform politik dan wacana perkauman Umno-BN tetapi tidak membenarkan mahasiswa mempunyai pandangan dalam isu-isu penting membabitkan masa depan ekonomi negara," katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan UiTM Sabah mengenakan tindakan disiplin terhadap seorang pelajarnya, Mohd Fathihie Gadius, di atas tulisan Facebooknya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari Oktober 2013 hingga Januari tahun ini.
Mohd Fathihie menerima surat bertarikh 28 April lalu yang menuduh beliau melanggar Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
Antara kesalahannya ialah membuat kenyataan umum untuk menggalakkan perbuatan melanggar tata tertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah menerusi beberapa tulisannya.
Jika didapati bersalah, Mohd Fatihie boleh digantung daripada universiti dan dihalang masuk kampus.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi juga mendakwa hukuman itu membuktikan IPT tempatan tidak mempunyai kebebasan akademi.
"Bukankah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berjanji meminda Akta Universiti dan Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 dengan menyatakan mahasiswa berkebolehan untuk menjadi warganegara bertanggungjawab dan berfikiran matang.
"Malangnya insiden terbaru ini di mana seorang mahasiswa yang berfikiran bebas telah ditekan menunjukkan betapa kosongnya janji ini, sekali gus menjadi pencabulan pemikiran waras dan hak asasi manusia," dakwanya.