GELANG PATAH: DAP hari ini kesal dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi agen penyebaran kebencian antara agama melalui penganjuran Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara, 6 Mei lalu di Dewan Agong Tunku Canselor, Shah Alam.
Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Dyana Sofya Mohd Daud berkata, seminar yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan menguatkan akidah umat Islam tidak wajar menggunakan cara yang memomokkan agama lain.
“Saya amat kesal kerana UiTM tidak mempertimbangkan perasaan mahasiswa, tenaga pengajar dan juga kakitangan beragama Kristian yang berkhidmat di sana.
“Apakah perasaan mereka melihat universiti tempat menuntut ilmu dan mencari sumber rezeki memburukkan agama lain?” soal Dyana.
Dyana yang juga bekas graduan perundangan UiTM melahirkan rasa kesal melihat institusi pengajian tinggi itu membuka pentas kepada pihak yang membangkitkan dakwaan tentang ancaman Kristianisasi di kalangan umat Islam dan isu yang dapat mewujudkan ketegangan kaum, berlawanan dengan contoh yang ditunjukkan pemimpin terdahulu yang meraikan kepelbagaian.
“Pengasas Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Setiausaha Agung Pertama Organisation of Islamic Conference (OIC) Tunku Abdul Rahman sendiri pada tahun 60an menghormati kepelbagaian agama dengan menghantar ucapan tahniah kepada gereja St Andrew’s Presbyterian semasa sambutan jubli emasnya,” ujar Dyana.
Tambah beliau, UiTM sepatutnya menganjurkan dialog antara agama yang menekankan prinsip-prinsip asas perkongsian bersama untuk mewujudkan perpaduan lebih utuh.
Dyana turut mengulas tindakan tatatertib yang akan diambil oleh pihak universiti tersebut terhadap seorang mahasiswa kerana satu perkongsian di laman sosial Facebook berkenaan cukai barangan dan perkhidmatan GST.
“Seorang mahasiswa UiTM Sabah kini sedang berdepan tindakan disiplin dan boleh digantung pengajian kerana menulis bantah GST di laman Facebook peribadi beliau.
“Mohd Fathihie Gadius didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatatertib, kekacauan, keengkaran di kalangan pelajar.
“Sepatutnya penganjur Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang dikenakan tindakan sedemikian dan bukannya Mohd Fathihie kerana beliau hanya menyuarakan hak sebagai rakyat Malaysia tanpa melanggar batasan kebebasan individu,” tegasnya. -Roketkini.com