Merempat di kaki lima 
Tempat tidur Tian Su di kaki lima hanya beralaskan sekeping papan.


BANDARAYA MELAKA - Penyakit kencing manis dihadapinya bukan saja menyebabkan seorang pemuda terpaksa berhenti kerja, malah terus hidup dalam kesempitan.

Lebih menyedihkan, Yeo Tian Su, 29, terpaksa menumpang teduh di kaki lima kedai akibat tidak mampu menyewa rumah.

Menurut Tian Su yang berasal dari Taman Asean, Malim, dia sebelum ini pernah bekerja di sebuah syarikat pembekal perkhidmatan peralatan siar raya.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan sering dimasukkan ke hospital akibat penyakit kencing manis, akhirnya dia diberhentikan kerja.

"Semasa saya bekerja, saya mampu menyewa rumah, tetapi selepas diberhentikan sejak September lalu, saya tiada lagi wang.

“Kalau tidak di wad hospital, saya akan tumpang di tokong atau kaki lima kedai. Saya beli makanan dengan duit yang orang berikan," katanya yang sudah mengidap penyakit berkenaan sejak 15 tahun lalu.

Sementara itu, nasib pemuda berkenaan mendapat perhatian Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA negeri yang bertindak  membawa perkara itu ke pengetahuan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka.

Susulan itu, Ketua MCA negeri, Datuk Chua Kheng Hwa; Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menemui pemuda berkenaan yang sedang duduk di kaki lima sebuah kedai menjual motosikal di sini.

Menurut Amir Hamzah, JKM akan mendapatkan persetujuan keluarga pemuda itu untuk menempatkannya di rumah perlindungan di bawah seliaan jabatan terbabit.