Harta karun: Pencarian perlu disertai pakarMohd Jamil (kanan) menunjukkan koleksi barangan lamanya termasuk syiling sambil diperhatikan Pengurus Besar Iksep, Datuk Aziz Ujang.


MELAKA - Kerja mencari dan mengeluarkan harta karun di Pulau Nangka yang kini diberikan kepada syarikat swasta, perlu turut disertai kajian sejarah dan ekologi oleh pakar-pakar.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotik Malaysia (Iksep), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata, walaupun beliau menyokong langkah kerajaan negeri melantik Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, namun adalah lebih baik sekiranya kerjasama pakar dapat dilibatkan sama.

Menurutnya, agensi seperti Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Warisan Negara serta universiti tempatan mempunyai lebih kepakaran untuk menjalankan kajian sejarah dan ekologi di Pulau Nangka.

“Saya berpendapat adalah lebih baik kalau pakar-pakar ini dibawa bersama bagi menjalankan kajian supaya apa jua artifak ditemui nanti dapat dipulihara dengan sebaiknya.

“Memang Perzim (Perbadanan Muzium Melaka) ada menghantar pakarnya.

Tapi saya berpendapat kerjasama dari pakar di agensi lain serta universiti tempatan sebaiknya terlibat sama,” katanya di Ibu Pejabat Iksep di Batu Berendam,  semalam.

Kelmarin, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zul Iskandar Ramlee menyuarakan hasrat beliau bersama rakannya, Junaidi Abdul Rashid untuk melakukan kajian usia dan asal-usul artifak sekiranya ia ditemui di Pulau Nangka.

Junaidi merupakan seorang pakar arkeologi dan pernah menjadi penolong pegawai warisan di Jabatan Muzium Negara.

Sementara itu, Mohd Jamil berkata, sebagaimana pihak lain, beliau percaya harta kekayaan milik Sultan Melaka mungkin disorokkan di tiga lokasi ekoran kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

Selain Pulau Nangka, katanya, dua lagi lokasi berkenaan adalah Pulau Besar dan Bukit St Paul.

Menurutnya, faktor itu jugalah mendorong kerajaan negeri membelanjakan RM2 juta membeli Pulau Nangka dari seorang pemilik individu pada 1997.

“Saya ketika itu Pengurus Besar Perzim turut terbabit dalam proses pembelian pulau berkenaan. Kenapa kita beli? Sebab ada artifak di Pulau Nangka,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Jamil turut mengesa usaha mencari harta karun atau artifak warisan, khususnya di perairan Melaka, diteruskan.

Ini kerana katanya, sejarah menunjukkan perairan Selat Melaka menjadi laluan kapal dagang antara timur dan barat sejak sebelum abad pertama.

Menurutnya, ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Fony Walls dalam buku, ‘Shipwrecks and Sunken Treasure In Southeast Asia’ bahawa terdapat 41 kapal dagang antara lain milik Belanda, Portugis, Sepanyol, British dan China terdampar di dasar Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Usaha mencari harta atau artifak kapal karam ini hendaklah dijalankan bukan semata-mata keuntungan tetapi lebih penting untuk mencari fakta baharu tentang keagungan kerajaan Melayu, khususnya empayar Kesultanan Melayu Melaka.

“Kajian secara profesional mesti dijalankan sebelum pencarian dimulakan. Sebarang eksplorasi dan ekskavasi mesti diselia pakar supaya harta dapat diambil dengan baik dan dipulihara,” katanya.