Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus membatalkan penggantungan The Heat sebelum Indeks Kebebasan Akhbar 2014 menjunam ke paras terendah meninggalkan Myanmar, kata DAP.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, tahun lalu Malaysia jatuh 23 anak tangga ke kedudukan 145 daripada 179 terburuk sejak mula dinilai setiap tahun oleh Reporters Without Borders (RSF) pada 2002.
“Tiada yang percaya dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa Najib dan laporan akhbar itu yang bertajuk 'All eyes on big spending PM Najib' tidak menjadi sebab penggantungan The Heat.
“Penggantungan The Heat tidak dapat diterima kerana Najib telah berjanji untuk membuat pembaharuan demokrasi membebaskan kawalan seperti zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KDN pada Sabtu menyatakan The Heat digantung kerana tidak memaklumkan berlaku pertukaran pemilikan dan hala tuju daripada sebuah akhbar perniagaan kepada isu semasa.
Jurucakap KDN sebelum itu menafikan dakwaan bahawa penggantungan The Heat adalah disebabkan laporan tentang perbelanjaan tidak berhemah Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Lim berkata sebelum penghujung tahun 2013, Najib harus menunaikan janjinya bagi menjadikan Malaysia “negara demokrasi terbaik di dunia”.
Katanya, tiada rakyat Malaysia mahu pun warga asing percaya Najib akan mengotakan janjinya itu namun setidak-tidaknya Perdana Menteri harus membuat pembaharuan terhadap demokrasi.
“Najib juga harus memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta keperluan lesen penerbitan.
“Dalam Indeks Kebebasan Akhbar pada tahun lalu, Malaysia berada pada tangga ke-122, tetapi kedudukan ke-145 pada tahun ini menjadikan Malaysia berada di belakang Brunei, Thailand dan Indonesia malah Kemboja sendiri berada dua anak tangga mendahului Malaysia,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pada Oktober, keganasan terhadap petugas media oleh peserta demonstrasi BERSIH 3.0 April lalu antara penyebab kedudukan suram Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar berada di tangga ke-145.
Katanya, kemerosotan kedudukan tersebut tiada kaitan dengan kawalan media oleh kerajaan.
Lim berkata kejatuhan indeks itu adalah disebabkan Malaysia berterusan menyekat maklumat dan menjadikannya semakin terhad selain tindakan kerajaan dalam perhimpunan Bersih 2012.
“Adakah Malaysia akan terus berada di kedudukan terendah dalam Indeks Kebebasan Akhbar untuk tahun baru 2014 ini?” katanya.