Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan lebih 60% kereta peronda pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) uzur dan perlu diganti bagi memastikan pasukan keselamatan berkenaan dapat mengoptimumkan usaha mereka dalam menjaga keselamatan negara.
Nur Jazlan berkata, kenderaan peronda berkenaan sudah seharusnya diganti memandangkan kenderaan uzur akan meningkatkan kos penyelenggaraan dan menjejaskan operasi kawalan keselamatan.
“Bayangkanlah, masih ada kereta peronda polis yang menggunakan kereta Proton Saga lama dan ia sedikit sebanyak sudah pasti menjejaskan operasi kawalan keselamatan yang dilakukan anggota polis," kata Ahli Parlimen Pulai itu kepada The Malaysian Insider.
"Saya dimaklumkan bahawa lebih 60% kereta peronda polis sudah tamat tempoh atau dalam kata lain sudah uzur dan kerajaan perlu memberikan peruntukan khusus untuk menggantikan kereta peronda polis dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan di negara ini,” katanya.
Nur Jazlan berkata demikian selepas pertemuan beliau dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 17 Disember lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Nur Jazlan turut berkata PAC akan membantu PDRM mendapatkan peruntukan kewangan yang lebih daripada kerajaan khususnya, dalam meningkatkan keupayaan logistik pihak berkuasa berkenaan.
"Tan Sri Khalid memaklumkan bahawa PDRM akan mengambil alih operasi Perkhidmatan Panggilan Kecemasan (MERS) 999 dan ia akan diintegrasikan dengan sistem Unit Perintah Kawalan Komunikasi dan Integrasi Komputer (C4I) yang dimiliki polis,” katanya.
PAC juga, jelas Nur Jazlan, menyambut baik langkah kerajaan menambah keanggotaan PDRM khusus dalam mengawalselia syarikat kawalan keselamatan serta senjata api berlesen.
“Saya membangkitkan isu kurangnya kawalselia dan penguatkuasaan syarikat kawalan keselamatan serta senjata api dalam pertemua berkenaan dan Ketua Polis Negara mengakui bahawa sebelum ini, memang kurang penguatkuasaan sama ada daripada pihak polis atau Kementerian Dalam Negeri berikutan kekurangan anggota.
“Bagaimanapun, masalah berkenaan sudah diatasi apabila kerajaan meluluskan permohonan PDRM untuk menambah perjawatan anggota khusus bagi melakukan penguatkuasaan terhadap syarikat kawalan keselamatan serta senjata api berlesen,” katanya.
PDRM sebelum ini dikritik apabila Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kehilangan aset termasuk gari, kenderaan, dan pistol bernilai RM3.3 juta.