BACHOK - Lebih 300 ahli keluarga nelayan di Kampung Sungai Gali, Kandis berdepan masalah sumber pendapatan berikutan hasil tangkapan yang diperoleh semakin merosot.
Ia berpunca daripada muara sungai semakin cetek sejak beberapa tahun lalu dan memaksa nelayan ke laut selepas jam 8 pagi kerana menunggu air laut pasang.
Namun masalah yang dihadapi lebih 60 nelayan itu tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak walau pernah diajukan kepada pihak berkaitan.
Seorang nelayan veteran, Mohd Zain Ismail, 61, berkata, berikutan masalah itu kebanyakan nelayan terpaksa menunggu air pasang sekitar jam 9 hingga 10 pagi untuk membawa bot keluar ke laut.
Katanya, kelaziman nelayan akan ke laut selepas Subuh tetapi kini keadaan muara cetek menyebabkan mereka ke laut lebih lewat.
“Kalau ke laut jam 8 pagi air masih cetek dan perlu tolak bot kira-kira 800 meter ke muka kuala.
“Kalau pasang enjin, nanti tersekat dan enjin berisiko rosak akibat terlanggar beting pasir,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Che Rosmadi Che Ali, 36, sejak 20 tahun menjadi nelayan, keadaan muara cetek sedemikian kerap berlaku dan kali ini ia semakink teruk.
Menurutnya, sejak muara cetek, pendapatan mereka sebagai nelayan semakin berkurangan.
“Kalau dulu kami keluar awal dapat bawa tangkapan mencecah RM200 tetapi kini nak dapat RM100 pun susah. Waktu dah lewat mana ada banyak ikan.
“Kaki kami semua pun sudah kalis cedera setiap kali menolak bot akibat terpijak teritip di dasar muara. Kami sekarang ibarat kais pagi makan malam saja tetapi tak ada pun jabatan atau pemimpin yang nak ambil tahu masalah kami.
“Sepatutnya masalah macam ini yang didahulukan ke peringkat atasan atau dibawa ke Parlimen kerana ia melibatkan masa depan rakyat. Ini bukan masalah seorang diri tetapi melibatkan ratusan bilangan ahli keluarga kami yang perlu diberi makan setiap hari,” katanya.
Mereka berpendapat struktur binaan muka kuala yang dibina sejak 1980-an itu tidak efektif dan menjadi faktor utama kuala semakin cetek.
Jika tiada tindakan drastik diambil untuk membantu mengubah struktur kuala sekaligus mendalamkannya, nasib 50 keluarga yang bergantung kepada hasil laut itu akan terus malap.