Jusoh sekeluarga berdepan masalah air kerana telaga sedalam hampir 10 meter berhampiran rumahnya ini hampir kering.
HULU TERENGGANU - Musim kemarau berpanjangan sejak kebelakangan ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya banyak kes kebakaran belukar dan hutan, malah impaknya turut dirasai mereka yang menggunakan perigi sebagai sumber air.
Senario itulah dihadapi sebanyak 15 sekeluarga yang tinggal di hujung Kampung Merbau Pulas, di sini, yang berdepan masalah air sejak dua bulan lalu kerana perigi digunakan mereka sebagai sumber air utama, kian kering.
Mahu atau tidak kerana tiada pilihan, penduduk, Jusoh Ibrahim, 63, dan keluarga terpaksa menggunakan air parit berhampiran rumahnya untuk kegunaan harian termasuk menguruskan ibunya, Che Yah Mamat, 85, yang kini terlantar akibat angin ahmar.
Jusoh berkata, dia berdepan keadaan sedemikian buat kali kedua sejak tinggal di situ 35 tahun lalu, malah dia sendiri tidak dapat menggambarkan keperitan terpaksa ditanggung mereka sekeluarga dengan kata-kata.
“Pakcik guna pam elektrik untuk sedut air perigi yang disalurkan ke tiga rumah termasuk rumah emak dan anak pakcik yang terletak berdekatan. Masalah air berlaku apabila musim kemarau terlalu lama kerana enjin pam tidak berfungsi akibat air cetek.
“Kedalaman perigi hampir 10 meter dan mahu atau tidak, pakcik sekeluarga terpaksa menimba air biarpun ia bercampur lumpur, untuk minum. Jika untuk mandi atau kegunaan harian lain pula, parit jadi tumpuan. Soal bersih atau tidak, letak ke belakang.
“Walaupun bimbang akan jejaskan kesihatan khususnya buat ahli keluarga yang uzur, bayi dan kanak-kanak, namun kami terpaksa juga gunakannya. Saya sendiri tidak pasti sampai bila perlu berdepan masalah ini,” katanya, kelmarin.
Mohon sedia paip jalan
Menurut Jusoh lagi, sebuah perigi lain sudah digali di rumah anaknya yang turut menggunakan pam elektrik beberapa tahun lalu, tetapi perigi itu tidak dapat digunakan kerana airnya berbau busuk dan masam.
Justeru kata Jusoh, anaknya sekeluarga kini terpaksa menggunakan air perigi di rumahnya untuk keperluan harian.
"Bagi mengelakkan masalah air ketika kemarau berulang, saya sudah membuat permohonan bagi mendapatkan kemudahan paip jalan sekitar 2012 lalu.
“Namun, saya tidak tahu kenapa kerja pemasangan dilakukan separuh jalan. Jika ada kemudahan paip ini, sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi berdepan gangguan bekalan air akibat telaga kering,” katanya.