SHAH ALAM – Mengarut. Demikian reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya mengenai laporan Daily Mirror yang mendakwa anggota militan yang ditahan di Kedah dan Selangor baru-baru ini disoal siasat berhubung kehilangan pesawat MH370.
Menurut media United Kingdom (UK) itu ,11 anggota militan yang ditahan mempunyai kaitan dengan Al Qaeda telah disoal siasat Jumaat lalu sama ada mereka pihak yang bertanggungjawab atas kehilangan MH370.
“Ini laporan mengarut. (Penangkapan) tiada kaitan dengan MH370,” katanya dipetik The Star.
Sebelum ini, media melaporkan PDRM turut mengenal pasti Syria dan Filipina sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian militan.
Pada 28 April lepas, sembilan individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 dan 55 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan militan ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.
Tiga daripada mereka ditahan di Kedah dan enam di Selangor. Keesokannya, polis menahan dua orang lagi anggota militan di ibu negara.
"Kita telah memberkas 11 anggota kumpulan militan yang kita percaya memberi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman negara.
"Ada beberapa lagi sasaran yang sedang kita pantau, dan kita akan tangkap (mereka) sedikit hari lagi," kata Khalid dalam satu sidang media, semalam.