Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Rapatkan jurang pendapatan rakyat, tangguh GST

$
0
0
NAZLI IBRAHIM 


KUALA SELANGOR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mahu diperkenal Kerajaan Pusat tahun hadapan belum sesuai dilaksanakan sehingga jurang pendapatan rakyat berpendapatan rendah dan menengah berjaya dirapatkan terlebih dahulu.

Hal itu kerana golongan rakyat yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah dan sederhana masih lagi menjadi kelompok terbesar rakyat di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar), berkata keadaan itu menyebabkan rakyat yang berpendapatan rendah terpaksa membayar jumlah cukai yang sama rata dengan golongan berpendapatan menengah bagi memperoleh barangan atau perkhidmatan yang sama.

“Bila tiba masa tertentu baru GST boleh dilaksanakan tetapi bukan sekarang. Masih terdapat apa yang dipanggil jurang pendapatan yang jauh, jadi orang yang dikenakan cukai berpendapatan RM1,000 sama jumlahnya dengan orang berpendapatan RM30,000.

“Apabila orang yang kurang duit dikenakan cukai, mereka merasakan beban yang lebih besar daripada golongan berpendapatan tinggi.

“Katakan beli kopi ‘O’ dikenakan kenaikan 10 sen. Sepuluh sen bagi orang berpendapatan RM1,000 besar maknanya tetapi 10 sen untuk orang berpendapatan RM30,000 itu tidak menjadi kesan yang besar kepada mereka,” katanya kepada media selepas menyerahkan Projek Siap Masjid Darul Ibadah di Kampung Harmoni, Simpang Tiga Ijok, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Selangor giat menjalankan pelbagai program yang mampu meningkatkan pendapatan individu rakyat negeri itu kepada jumlah minima RM1,500 dan pendapatan seisi keluarga RM4,000.

Abdul Khalid berkata, jumlah pendapatan yang disasarkan Kerajaan Negeri itu adalah jumlah yang sesuai bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Katanya, Kerajaan Pusat harus menimbangkan semula perlaksanaan GST sehingga tiba masa yang lebih sesuai iaitu pendapatan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dapat ditingkatkan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722