Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata perkara itu termasuklah empat aspek siasatan iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.
"Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kita tidak akan beritahu apa-apa hasil kedapatan siasatan yang kita ada sekarang ini," katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah.
Beliau turut berkata sehingga semalam, pihaknya merekodkan 311 keterangan termasuk daripada keluarga mangsa terbabit.
Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, April lepas, Khalid berkata pihaknya masih berhubung dengan rakannya di China dan Filipina.
"Mangsa selamat dan kita sedang lakukan semua yang mungkin dan mampu untuk selesaikannya," katanya.
Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.– Bernama