Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Beramai-ramai sertai himpunan anti-GST

$
0
0


Oleh RAYUSA




JIKA berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2011 (PAU 2011), memang tiada tempat langsung untuk rakyat negara ini berhimpun menyatakan bantahan terhadap sesuatu isu yang menyusahkan mereka.

Dalam kata lain, rakyat susah untuk menyatakan kesusahan mereka kerana akta itu.

Walau bagaimanapun, pada 1 Mei nanti Himpunan Aman Membantah Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetap akan diadakan di Kuala Lumpur.

Sebenarnya, rakyat bukanlah terlalu suka berdemonstrasi atau memprotes di jalanan tanpa sebab seperti yang didakwa oleh pemimpin dan penyokong tegar kerajaan Umno-BN. Himpunan 1 Mei diadakan kerana kesabaran tidak dapat dibendung lagi.

Seperti biasa, meskipun hak berhimpun dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Beramai-ramai sertai himpunan anti-GST pemimpin kerajaan Umno-BN dan para penyokong tegarnya termasuk NGO pengampu tetap menentang dengan seribu alasan.

Himpunan aman besarbesaran pada Hari Pekerja itu bertujuan membantah hasrat kerajaan Umno-BN melaksanakan GST sebanyak enam peratus berkuat kuasa mulai 1 April 2015. Dewan Rakyat pada awal April lalu telah meluluskan cukai tersebut.

Dalam perbincangan dengan pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, 16 April lalu, penganjur Himpunan Aman Membantah Pelaksanaan GST diwakili oleh Jurucakap Jawatankuasa Mei 1, S Arutchelvan.

Polis pula diwakili oleh Ketua Ketenteraman Trafik Kuala Lumpur, Penolong Kanan Suruhanjaya, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainuddin Ahmad.

Dalam hal ini, Arutchelvan yang juga Setiausaha Agung PSM memuji usaha polis yang ‘proaktif’ memanggil beliau untuk berbincang mengenai perhimpunan itu walaupun Akta Perhimpunan Aman 2011 menetapkan sebarang perhimpunan dimaklumkan 10 hari sebelum berlangsung seperti surat yang diberikan kepadanya.

Perhimpunan anti-GST itu akan bermula di KLCC pada jam 2 petang yang akan diisi antaranya oleh ucapan wakil pekerja dan pemimpin NGO selama kira-kira sejam. Kemudian, peserta akan berarak ke lokasi terakhir, Dataran Merdeka.

Menurut Arutchelvan lagi, polis membangkitkan isu ‘protes jalanan’ kerana ia tidak dibenarkan oleh akta tersebut.

Isu penutupan Dataran Merdeka pada 1 Mei juga timbul kerana kerja menaik taraf sehingga Jun depan menyebabkan polis meminta penganjur mencari lokasi lain walaupun perhimpunan dijamin akan berjalan dengan aman.

Arutchelvan juga memberitahu polis mahu penganjur memaklumkan dalam tempoh 10 hari dari tarikh perhimpunan. Katanya lagi, setiap tahun penganjur memaklumkan kepada polis agar pihak keselamatan itu memudahkan cara. Walau bagaimanapun, penganjur perhimpunan juga ada pengalaman buruk dengan polis.

Tambah Arutchelvan, polis turut membangkitkan soal penyertaan kanak-kanak dan kebenaran daripada pemilik lokasi tempat berhimpun.

Kalau mengikut PAU 2011, KLCC juga terletak di sebelah masjid. Justeru, penganjur meminta polis menggunakan budi bicara kerana sebelum ini ada perhimpunan yang tidak memerlukan permit polis.
Lagipun, katanya, peserta tidak masuk ke dalam KLCC.

Antara NGO yang akan turut memberi sokongan terhadap perhimpunan pada 1 Mei itu termasuklah HIMPUN, SAMM, TURUN, JERIT, serta organisasi mewakili orang Asli dan NGO wanita.

Dalam pertemuan dan perbincangan pada 21 April lalu pula, peserta perhimpunan diwakili oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden KeADILan, Tian Chua; AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, dan Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong. Pihak polis diwakili oleh Zainuddin Ahmad dan lima pegawainya.

Mohamad @ Mat Sabu tetap mengatakan lokasi terakhir perhimpunan adalah di Dataran Merdeka mengikut jadual. Ini kerana katanya, masih ada bahagian di lokasi berkenaan yang kosong (tanpa penambahbaikan).

Tambah beliau, kumpulan NGO akan berhimpun di KLCC dan penyokong parti politik pula berada di sekitar Kuala Lumpur.

Meskipun seperti masih ada ‘tarik tali’ dalam perbincangan 21 April itu, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, polis ‘tiada halangan perhimpunan diadakan’. Tambah beliau, jemputan kepada pemimpin Pakatan Rakyat ke IPD Dang Wangi bagi memastikan ‘ia diteruskan dengan baik.’

Penganjur perhimpunan, katanya, memberi jaminan akan bekerjasama dengan polis supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.

Meskipun kelihatan polis seperti bertindak lunak, sama seperti yang ditunjukkan semasa Hari Kebangkitan Rakyat, 12 Januari 2013 dan Himpunan TURUN, malam tahun baharu 2014, terdapat percanggahan pula.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Mohmad Salleh memberi amaran akan menahan penganjur perhimpunan 1 Mei itu. Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Khairi Ahrasa, 23 April lalu, Polis Kuala Lumpur akan bertindak jika perhimpunan tersebut mengancam ketenteraman awam.

Tindakan Polis Kuala Lumpur, jelas Khairi, sewaktu ditanya jika pasukan keselamatan bercadang membuat sebarang tangkapan awal sebagai langkah mencegah perhimpunan itu daripada terus berlangsung (ketika rencana ini ditulis), hanya untuk mengawal keamanan sahaja, tetapi akan bertindak jika mengancam ketenteraman awam.

Menjawab persoalan adakah polis telah mengesan individu yang akan menjadi personaliti utama perhimpunan 1 Mei, Khairi berkata pihaknya baharu mengenal pasti beberapa NGO yang bertindak sebagai penganjur.

Beliau turut menggesa penganjur agar memberikan notis kepada polis walaupun rundingan dengan pasukan keselamatan telah dibuat.

Polis, katanya, masih belum menerima sebarang notis daripada penganjur, tetapi akan bersiap sedia untuk mengawal himpunan tersebut supaya keadaan aman Kuala Lumpur ini terkawal dan terpelihara.

Walaupun penganjur telah berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, tambah Khairi, mereka masih perlu mengemukakan notis selama 10 hari dari tarikh perhimpunan akan diadakan supaya dapat saling membantu.

Jadi, masih berlaku ‘tarik tali’ seperti biasa sedangkan penglibatan beberapa NGO prihatin menunjukkan Himpunan Aman Membantah Pelaksanaan GST bukan berpaksikan kepentingan politik. Pemimpin Umno dan parti komponen BN yang lain pun boleh ikut serta kerana kesan GST turut mengenai penyokong BN. Hal tersebut sangat perlu disedari.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722