Tindakan PAS menimbulkan semula isu pelaksanaan hukum hudud berpunca daripada kerajaan lemah yang ditadbir oleh Datuk Seri Najib Razak, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, halangan ke atas pelaksanaan hukum hudud semasa era pemerintahannya adalah kerana sokongan majoriti yang diberikan kepada kerajaannya.
"Mungkin mereka ingat kerajaan perlukan sokongan kerana semasa zaman saya, kami berkuasa dengan dua pertiga majoriti," kata Dr Mahathir ketika ditemui di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) pagi ini.
Dr Mahathir yang dilihat paling lantang menolak pelaksanaan undang-undang Islam kontroversi tersebut menegaskan langkah tersebut bermotifkan politik bukannya mengenai memberikan keadilan kepada rakyat.
"PAS lakukannya untuk politik, bukan mengenai Islam.
"Bila kamu buat undang-undang ini, orang akan kata parti kamu Islam dan rakyat akan sokong. Ia bukan mengenai keadilan," katanya.