Banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini mendorong penduduk setempat mencari alternatif menyelamatkan diri dan harta benda mereka daripada terus ditenggelami air.
  
Ada di antara mereka sanggup mengeluarkan duit poket sendiri membeli bot sebagai langkah awal jika banjir terus melanda kawasan kediaman mereka.
  
Bukan setakat menyediakan bot, malah mereka juga begitu kreatif dengan menggantung perabot serta beberapa barangan lain daripada ditenggelami air.
  
Tinjauan di Kampung Delong, di Dungun mendapati cuaca yang cerah sejak semalam memberi kesempatan kepada mangsa bencana itu pulang ke rumah masing-masing membersihkan kediaman mereka namun kebanyakannya masih enggan menurunkan barangan itu terlebih dahulu kerana bimbang gelombang kedua banjir yang diramalkan semalam bakal bertandang kembali.
  
Menurut Che Aniera Che Said, 57, selepas mengharungi gelombang banjir pertama sejak Isnin lalu beliau mengambil keputusan menyediakan sebuah bot bagi memudahkan pergerakan dan menyelamatkan diri jika banjir melanda semula.
  
Katanya sebelum ini dia dan ahli keluarganya terpaksa meredah banjir bagi menyelamatkan diri.
  
"Saya beli bot fiber ini dengan harga RM650 untuk digunakan pada musim banjir kerana saya bimbang air yang naik secara mendadak dan menyukarkan pihak penyelamat menghulurkan bantuan.
  
"Kita faham ramai penduduk tidak menyangka banjir kali ini begitu teruk dan semua berlumba-lumba mahu minta pertolongan pihak berkuasa bagi menyelamatkan diri. Jadi atas sebab itulah, saya ambil inisiatif ini bagi memudahkan kami berpindah," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata pengalaman yang terpaksa dilalui tempoh hari membuatkan dia sekeluarga lebih bersedia untuk menghadapi banjir tetapi apa yang membimbangkannya jika semua perhubungan terputus kerana ia akan menyukarkan pihak berkuasa menghantar bantuan.
  
Sementara itu, Fatimah Harun, 47, berkata dia terpaksa menggantung perabot di siling rumahnya menggunakan tali yang berkualiti bagi mengelakkan kerugian besar setelah kesemua barangan di dalam rumahnya tidak dapat digunakan selepas ditenggelami air tahun lepas.
  
Katanya ini merupakan kali kedua kediamannya di Kampung Delong, dinaiki air dan selepas melalui detik yang sama pada tahun lepas dia dan suaminya memutuskan menggantung almari dan dapur serta meletakkan barangan lain di siling rumah.
  
"Barangan lain seperti sofa, tilam, mak cik dah pindahkan lebih awal dengan meletakkannya di balai raya, manakala yang selebihnya terpaksa gantung di dalam rumah bimbang rosak ditenggelami air lagi.
  
"Tahun lepas rumah saya juga turut dinaiki air namun tidaklah setinggi ini dan kesemua barangan rosak dimusnahkan air jadi kali ini kami lebih bersedia menghadapi banjir," katanya ketika dihubungi.
  
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Salleh Sarbini berkata pihaknya turut menyediakan 500 jaket keselamatan kepada mangsa banjir di negeri ini bagi menjamin keselamatan mangsa semasa operasi memindahkan mereka.
  
Md Salleh berkata 700 anggota dan pegawai bomba diletakkan dalam keadaan bersiap siaga mengharungi bencana itu buat kali kedua dan sebagai langkah persediaan pihaknya akan mewujudkan 15 pondok khas bomba di kawasan berisiko dilanda banjir di negeri ini antaranya di kawasan Paya Berenjut, Bukit Mentok, Kampung Air Putih di Kemaman dan beberapa kawasan di Dungun.
  
Lima anggota akan ditugaskan di setiap pondok terbabit yang dilengkapi dengan bot dan lori sebagai persediaan dalam operasi menyelamat.- Bernama