KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menyangkal dakwaan harga barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah lebih mahal berbanding kedai lain.
Katanya semua produk berlabel 1Malaysia Kedai Rakyat (1MKR) yang dijual di KR1M di seluruh negara adalah tetap sepanjang masa dan sebarang perubahan harga perlu dirujuk kepada kementerian itu terlebih dahulu.
"Kerajaan memberi jaminan bahawa harga produk jenama 1MKR yang dijual di rangkaian KR1M adalah lebih murah sehingga 50 peratus berbanding produk berjenama lain di pasaran," katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Lucas Umbul di Dewan Negara di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata sehingga kini sebanyak 130 KR1M beroperasi di 116 kawasan parlimen seluruh negara, termasuk lima yang baharu dibuka di Parlimen Betong, Selangau, Limbang, Kanowit dan Pengkalan Chepa.
Sebanyak 60 lagi KR1M akan dibuka tahun ini, katanya.
Beliau berkata kementerian juga sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai di beberapa institusi pengajian tinggi untuk membuka KR1M bagi membolehkan pelajar mendapatkan produk tempatan pada harga berpatutan dan berkualiti. - Bernama