MSTAR ONLINE
PERTH: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi merosot pada Isnin ekoran Taufan Tropika Jack terus menghala ke selatan.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dan sekali sekala ribut petir sedang bergerak ke utara beserta angin timur tenggara.
Bagaimanapun, usaha pencarian diteruskan yang memasuki hari ke-45 dengan disertai 10 pesawat tentera dan 11 buah kapal, demikian menurut JACC dalam satu kenyataan.
"Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer barat laut Perth," katanya.
Sementara itu, kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 mengakhiri misi lapan harinya pada Isnin setelah meliputi kira-kira dua per tiga kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang. Ia dijangka memulakan misi hari kesembilannya.
Sabtu lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pencarian segera di kawasan yang sedang dipantau Bluefin-21 dijangka selesai minggu depan.
Beliau juga berkata, kini tiba masanya pihak yang terlibat dalam usaha pencarian mempertimbang dan membincang pula penggunaan kapal selam.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu 'dalam beberapa hari lagi'.
Bluefin-21 memulakan tugas sulungnya Isnin lalu dalam usaha mencari serpihan pesawat, ekoran tiada lagi isyarat disahkan dikesan oleh TPL sejak 8 April.
Ia menggunakan bunyi akustik untuk mencipta peta 3D di dasar laut yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam untuk memuat data yang dikumpul.
Pesawat MH370 dengan seramai 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam di atas Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Usaha pencarian yang melibatkan pelbagai negara, pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan dan kemudian di Lautan Hindi, apabila difahamkan ia telah melencong dari laluan asalnya.