Malaysia sekali lagi akan menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370 bagi mengurangkan beban kepada waris tersebut.
Seorang bapa, Selamat Omar yang anaknya bekerja sebagai jurutera jet, Mohd Khairul Amri antara 227 penumpang yang menaiki MH370 berkata pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu adalah berkenaan taklimat kerajaan mengenai bantuan kewangan.
"Antara perkara yang dibangkitkan semasa taklimat itu membabitkan isu sijil kematian, urusan dengan bank, pinjaman pajakan, pengambilalihan pinjaman kereta, kerana ia amat sukar berurusan dengan bank.
"Jadi pihak berkuasa sudah memaklumkan bahawa mereka akan menolong kita dalam perkara tersebut," kata Selamat yang ditemui selepas taklimat di Royale Chulan Hotel, Kuala lumpur hari ini.
Bantuan kewangan yang akan diumumkan tidak lama lagi adalah pemberian kedua kali kerajaan kepada ahli keluarga.
Pada kali pertama, kerajaan mengumumkan waris Malaysia akan menerima sebanyak 5,000 dolar atau RM15,000.
Selamat yang turun ke Kuala lumpur dari Pahang, berkata setiap keluarga diminta untuk memberi satu cadangan jumlah yang mereka perlukan.
"Mereka beri kami satu alamat emel, untuk kami nyatakan berapa jumlah yang diminta untuk mereka putuskan satu nilai tetap," katanya.
Selamat berkata ahli keluarga akan diberikan tempoh sehingga minggu depan agar bantuan itu dapat diagihkan kelak.
Jawatankuasa waris yang diketuai Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainuddin berkata taklimat hari ini membabitkan kira-kira 60 waris Malaysia dan juga China di mana mereka turut menantikan perkembangan terbaru misi operasi.
Selain daripada bantuan pengagihan, Hamzah juga menekankan kepentingan untuk meneruskan hidup.
Apabila ditanya peratus waris yang menerima realiti merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dengan tiada yang terselamat, Hamzah berkata beliau mengharapkan semuanya menerima perkara itu.
Hamzah juga berkata akan menetapkan hari untuk membuat pengumuman mengenai pengesahan kematian kerana perlu mengesahkan beberapa isu dan bukti sebelum berbuat demikian.
Beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan bahawa waris memahami alasan di sebalik pengumuman itu.
"Saya memahami kesedihan mereka, kami berusaha untuk menjaga kepentingan mereka," katanya.
Difahamkan, beliau akan turun ke China pada minggu depan untuk bertemu dengan waris di sana bagi membincangkan bantuan kewangan serta penyelesaian untuk meneruskan hidup.
Bantuan kewangan itu akan disalurkan kepada semua waris keluarga dan anak kapal MH370.