Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bas kita makin tidak selamat

$
0
0



Oleh ABDUL JALIL ALI


SATU lagi kemalangan melibatkan bas ekspres, Sabtu lalu. Sehingga semalam siasatan pihak berkuasa belum diketahui keputusannya. Saya berharap pemandu bas berkenaan tidak melakukan apa yang didakwa oleh beberapa penumpang pada malam kemalangan ngeri yang meragut tiga nyawa itu.

Antara dakwaan, seperti yang disiarkan media, ialah bas dua tingkat dalam perjalanan KL-Kota Bharu itu dipandu melebihi had laju. Pemandu langsung tidak menghiraukan teguran supaya kelajuan dikurangkan.

Satu lagi dakwaan ialah pemandu berusia 35 tahun itu memandu sambil jari-jemarinya asyik dengan telefon bimbit, menghantar sms. Penumpang yang prihatin – dan bimbang – merayu supaya pemandu menumpukan perhatian kepada pemanduan.

Sekali lagi teguran penumpang tidak dihiraukan. Sudahlah memecut melebihi had laju, di tengah malam gelap, sempat pula pengendali bas bermain telefon bimbit.

Bas dengan 67 penumpang itu terbabas dan terbalik ketika melalui satu selekoh di KM11 Jalan Bentong-Raub, mengorbankan pasangan suami-isteri – si isteri mengandung empat bulan, dan seorang lagi penumpang. Sepuluh lagi, termasuk pemandu cedera.

Kalau betul seperti yang didakwa, pemandu berkenaan nyata sekali telah mengetepikan peraturan keselamatan lalu-lintas. Tetapi dia masih tidak bersalah, selagi belum dibuktikan di mahkamah.

Selang beberapa hari setelah tragedi di Bentong itu, seorang kanak-kanak tadika pula mati lemas apabila bas sekolah yang dinaikinya menggelongsor dan tenggelam di satu kolam kumbahan di Johor.

Seperti yang dilaporkan, bas berkenaan ditinggalkan sebentar berhampiran kolam ketika pemandunya, seorang wanita, turun untuk mengambil penumpang lain. Kenderaan yang tidak berpemandu itu menjunam ke dalam air, bersama kanak-kanak yang menjerit ketakutan.

Ada orang awam yang prihatin dan terjun ke dalam takungan kumbahan, bersusah payah menyelamatkan kanak-kanak itu. Enam dapat diselamatkan. Malang sekali seorang daripada mereka menemui ajal. Alangkah pilunya!

Seperti dalam kes bas dua tingkat itu, pemandu bas sekolah berkenaan juga ditahan polis untuk siasatan. Harap-harap segerakanlah siasatan dan beritahu hasilnya kepada umum. Sekiranya benar ada unsur-unsur kecuaian, ambilah tindakan ke atas
pemandu, tidak kira lelaki atau perempuan.

Apa yang terjadi di Bentong dan Johor itu hanyalah dua daripada sekian banyak contoh untuk mengesahkan bahawa menaiki kenderaan awam – terutama bas ekspres– di tempat kita, semakin tidak selamat.

Sebelum ini pun kita sering melihat banyak kemalangan maut yang melibatkan bas. Kita mempunyai jalan dan lebuh raya berkelas dunia, rata, lurus dan luas. Kenderaan kita pun canggih. Tetapi setiap masa terjadi kemalangan maut.

Bas dua tingkat sudah menjadi pengangkutan awam popular sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Walaupun satu ketika dulu ada ura-ura untuk mengenyahkan bas dua tingkat dari jalan raya kita atas alasan tidak selamat, dan tidak sesuai, sampai sekarang semakin banyak kenderaan seumpama itu di jalan kita. Untuk memburukkan lagi keadaan, dulu, kini dan selamanya, ramai pemandu bas kita – juga pemandu lori muatan berat – memang terkenal ganas ketika berada di belakang stereng.

Bukan luar biasa, juga bukan rahsia, memecut melebihi had laju bagaikan sudah menjadi budaya pemandu bas dan kenderaan berat. Sekiranya agensi dan pihak berkuasa kita betul-betul cekap dan prihatin, mereka boleh lihat setiap hari keganasan dilakukan oleh pemandu kita.

Syarikat pengangkutan dan samseng-samseng jalanan ini macam ada kekebalan.

Kita ada berbagai-bagai pasukan penguat kuasa – polis, JPJ, Miros, SPAD – tetapi entah mengapa mereka bagaikan tidak berkuasa memburu samseng lebuh raya.

Ada syarikat pengangkutan yang telah banyak kali menerima amaran, tetapi amaran tinggal amaran. Malah, ada pemandu dikenal pasti penagih dadah, mempunyai berpuluh saman trafik, masih terus memegang stereng.

SPAD sudah banyak berjanji akan bertindak tegas, tetapi kesannya tidak ke mana.

Menurut SPAD, setakat pertengahan 2013 pihaknya mengaudit 24 syarikat bas, menggantung lesen enam syarikat dan menarik balik dua permit. Hanya dua permit ditarik? Mungkin masa sudah tiba untuk kita mengkaji apakah SPAD masih relevan!

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722