ParameswaranParameswaran


SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Program catuan bekalan air yang dilaksanakan di Selangor ketika ini adalah jalan terbaik untuk mengatasi masalah krisis sumber penting itu kepada rakyat.

Presiden Pertubuhan Keselamatan Mutu Air Kumbahan dan Air Malaysia (Pentas), G Parameswaran berkata, program catuan juga tidak wajar dihentikan kerana kesannya sangat mendalam kepada masyarakat dan peniaga seperti yang dialami penduduk Lembah Klang sebelum ini.

"Jika henti catuan, akan ada penduduk yang menerima air dan ada yang lain tidak menerima bekalan kerana menghadapi tekanan air yang sangat rendah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, beliau bimbang masalah akan lebih teruk pada bulan Jun, Julai dan Ogos kerana dijangka negara akan menghadapi masalah kemarau.

"Kita bimbang catuan boleh sampai kepada lima ke enam hari pada musim kemarau nanti. Jadi, salah satu jalan penyelesaian untuk tangani krisis air ini adalah dengan menyegerakan projek Langat 2 tanpa kompromi lagi," tegasnya.

Beliau mengulas cadangan Umno Selangor dan rakyat yang mahukan program catuan itu dihentikan serta-merta.

Beliau dalam pada itu memuji usaha Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang menjalankan program catuan dengan cekap dan tersusun sekali gus krisis air di negeri dapat dikurangkan.

Pada masa sama beliau mahu krisis air ini tidak terus dipolitikkan hingga ada yang cuba menggagalkan usaha kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyebabkan rakyat lebih tertekan dan hak mereka dinafikan.

Sementara itu, Parameswaran menyifatkan penggunaan air bawah tanah belum mampu dapat menangani krisis air di Selangor sekiranya ia dilaksanakan.

Menurutnya, menggunakan punca itu bagi menampung krisis air belum tentu menyelamatkan Selangor kerana pelbagai faktor perlu diambil kira apatah lagi tidak semua kawasan yang mempunyai sumber air dapat digali.

"Selain kos, lebih membimbangkan ialah faktor kualiti air itu sendiri. Ada kawasan-kawasan telah dicemari selain boleh menyebabkan ekosistem terganggu sewaktu mendapatkan sumber air bawah tanah.

"Untuk jangka masa panjang pula, kita tak dapat jangka apakah masalah lain akan timbul kerana kemarau dijangka berlaku selepas Mei ini.

"Mungkin sumber air bawah tanah boleh diperoleh di kawasan pinggir bandar tetapi ia masih tidak dapat menampung keperluan penduduk Selangor," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Institut Pengurusan Alam dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff memberitahu dianggarkan terdapat kira-kira 5,000 bilion meter padu simpanan air bawah tanah yang belum diusik di Malaysia.

Menurut Abdull Rahim, sehingga kini, hanya tiga peratus sahaja daripada sumber itu digunakan dan ia mempunyai potensi sangat besar untuk menangani krisis air di beberapa negeri.

Bagaimanapun kata Parameswaran, cadangan mendapatkan air bawah tanah hanya penyelesaian sementara.