SHAH ALAM - Speaker Dun Selangor Hannah Yeoh hari ini menyatakan bahawa dua perkara unik telah berlaku sepanjang persidangan Dun berlangsung.
Menurutnya dua perkara unik tersebut ialah, mengenai Dun membenarkan pembangkang (BN) membawa dua usul tergempar.
"Dua perkara unik telah berlaku dalam sidang Dewan kali ini.
"Untuk pertama kalinya, kami membenarkan pembangkang membawa usul tergempar, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Shamsuddin Lias (Adun Sungai Burong,BN) membawa usul mengenai penggesaan menghentikan catuan air, walaupun ia dipersetujui untuk dibahaskan namun ia akhirnya tidak dipersetujui dewan.
"Kedua adalah usul Comango. Pembangkang selalu buat kenyataan kerajaan selalu tolak dan membenarkan usul itu dibahaskan. Semalam kita benarkan, namun sekali lagi jelas ia tidak perlu untuk kerajaan negeri ambil pendirian kerana ia dibawa oleh NG0, dan tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.
"Saya mahu semua pihak nampak, jika ada isu kita tidak perlu takut menghadapinya dan boleh dibahaskan.
"Saya gembira dengan kematangan dari pihak Pakatan dan BN. Mereka boleh membahaskan isu-isu tersebut tanpa wujud kekecohan walaupun kedua-dua usul tidak dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas persidangan berhenti rehat, hari ini.
Sidang Dun akan berakhir hari ini, permulaan semula sidang akan diberitahu kelak.