Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac dan pencariannya yang sehingga kini belum membuahkan hasil jelas memberi implikasi kepada indusri pelancongan, apatah lagi di saat negara menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Persepsi negatif berhubung insiden itu jelas memberi kesan mendalam kepada syarikat penerbangan negara dan pergerakan orang ramai dari satu destinasi ke destinasi yang membabitkan perhubungan udara, serta industri hiliran yang berkaitan termasuk sektor pelancongan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kemasukan pelancong China ke Malaysia pada masa ini terjejas dengan kebanyakan pelancong China membatalkan lawatan mereka ke Malaysia, malah tiada 'tempahan penerbangan' direkod bagi penerbangan dari China ke Malaysia.
Agensi pelancongan di China turut melaporkan mengalami penurunan bilangan pelancong China ke Malaysia yang ketara berikutan insiden itu, menurut South China Morning Post.
Positif capai sasaran
Lantaran itu, akan suramkah diari TMM 2014 yang sepatutnya berlangsung gilang gemilang dengan sasaran 28 juta pelancong hingga hujung tahun ini? Apakah TMM2014 akan berjaya mencapai matlamat?
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Mohd Ayub Hassan, berkata beliau positif negara akan tetap menjadi destinasi pilihan pelancong asing dan angka sasaran dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.
Katanya, tidak menafikan industri pelancongan negara terkesan akibat insiden itu, namun kesannya tidaklah kritikal dan kedatangan pelancong asing ke Malaysia perlahan pada masa ini kerana ramai masih trauma dengan kejadian yang menimpa MH370.
"Memang terjejas tetapi tidak banyak sangat dan saya tidak rasa ia akan berlarutan. Sekarang ini pastinya kedatangan pelancong asing berkurangan kerana insiden ini baru lagi berlaku dan masih teringat-ingat.
"Tetapi saya percaya dalam tempoh berapa bulan lagi akan pulih dan kita akan dapat mengejar semula sasaran yang diharapkan. Ssaya positif negara akan capai sasaran," katanya.
Tarik semula pelancong
Mohd Ayub berkata, meskipun kedatangan pelancong dari China diramal merudum tahun ini, namun negara masih boleh mencapai sasaran dengan menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari negara lain.
Katanya, kerajaan perlu optimis dan tidak berputus harap dalam menjayakan diari sambutan TMM 2014 yang dirancang meskipun berhadapan dengan pelbagai tekanan masa ini.
"Kerajaan juga perlu membuat publisiti dan menerangkan apa sebenarnya berlaku bagi menambat kembali dan meredakan kerisauan pelancong asing dan juga rakyat kerana mereka mungkin tidak tahu dan diselubungi rasa takut sedangkan insiden yang berlaku ini tidak boleh dielak.
"Saya percaya apabila semua orang dapat melihat usaha bersungguh-sungguh yang dibuat kerajaan dalam misi pencarian MH370, insya-Allah kepercayaan orang ramai khususnya pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini akan kembali," katanya.
Tingkatkan keselamatan
Beliau berkata, kerajaan juga perlu meningkatkan tahap keselamatan negara bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berulang serta memberi jaminan bahawa Malaysia adalah negara yang selamat dikunjungi.
Merujuk kejadian penculikan di sebuah resort di Pulau Singgahmata di Semporna pada 2 April lalu, Mohd Ayub berkata, kerajaan perlu memantau aspek keselamatan terutamanya di lokasi tumpuan pelancong bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada bahaya.
"Aspek keselamatan amat penting, sekiranya aspek keselamatan dan pengawasan di pusat pelancongan diperelok dan dipertingkatkan, pastinya jumlah pelancong juga akan bertambah apabila mereka berasa selamat berada di dalam negara," katanya.
Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan melarikan dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.
Tiada pembatalan tempahan
Sementara itu, Pengarah Jualan dan Operasi, agensi pelancongan Ceria Worldwide Services, Puteri Idayu Raja Samsudin, 35, berkata setakat ini tiada sebarang pembatalan tempahan oleh pelanggan berikutan insiden mengejutkan itu.
Katanya, syarikatnya merekodkan jualan baik daripada penduduk tempatan yang ingin ke luar negara serta pelancong asing yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka di dalam negara.
"Trip keluar negara yang melibatkan penerbangan memang terjejas sedikit dan tempahan berkurangan terutamanya untuk ke Beijing kerana ada yang masih fobia ekoran insiden MH370 itu tetapi tiada tempahan dibatalkan," katanya.
Beliau positif dan yakin program TMM2014 tidak akan terjejas teruk memandangkan persepsi dan fobia orang ramai akan keselamatan penerbangan lama-kelamaan hilang.
Kempen TMM di China ditangguh
Dalam pada itu, semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini Mohamed Nazri berkeyakinan sasaran 28 juta ketibaan dengan anggaran pendapatan RM76 bilion tahun ini dapat dicapai berdasarkan respons dan tempahan yang diterima setakat ini.
Katanya, tidak boleh dinafikan, insiden MH370 memberi kesan kepada aktiviti kemasukan pelancong pelancong China, yang merupakan penyumbang ketiga terbesar selepas Singapura dan Indonesia dengan rekod 1.6 juta orang tahun lalu.
Bagi menghormati sensitiviti rakyat negara itu berikutan majoriti penumpang MH370 adalah warga China, segala bentuk promosi dan kempen TMM 2014 di China ditangguhkan.
Pesawat Boeing 777-200ER MAS, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat yang membawa penumpang dari 14 negara sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Pasukan pelbagai negara pada mulanya mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya, selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.
Usaha mencari pesawat MH370 yang melibatkan kerjasama pelbagai negara itu kini tertumpu di selatan Lautan Hindi. – Bernama