
IPOH – Seramai 40 individu di negeri ini ditahan kerana memiliki dan menjual mercun serta bunga api bernilai RM39,200 tanpa permit sah bermula awal Ramadan lalu sehingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob, daripada jumlah itu, daerah Kerian mencatatkan kes tertinggi dengan 12 kes diikuti Hilir Perak, tujuh kes dan Ipoh, enam kes.
Menurutnya, setakat ini hanya daerah Perak Tengah, Selama, Kampar, Batu Gajah dan Muallim mencatatkan sifar kes.
“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun dan jumlah itu membimbangkan kerana meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan hanya sembilan kes di seluruh Perak.
“Modus operandi peniaga yang menjual bahan terlarang adalah dengan mempamerkan nama mercun yang sah sebaliknya mercun dijual adalah yang tidak dibenarkan dan mengikut spesifikasi ditetapkan polis.
“Hasil risikan mendapati bahan terlarang ini diperbuat di China namun kebanyakkannya dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memiliki atau menjual mercun. Tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 akan dikenakan kepada mereka yang masih ingkar atas arahan tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat 12 Pegawai Polis yang dinaikkan pangkat dari Asisten Superintendan kepada Deputi Superintendan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, tadi.