Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Pembulian KDN, Azan dan Turun 31 malam Dis

$
0
0



Oleh Ahmad Lutfi Othman


Penggantungan permit penerbitan mingguan berita The Heat mungkin akan ditarik balik dalam waktu terdekat. Semakin lama dibiarkan isu ini berlanjutan, ia boleh menambahkan lagi senarai panjang beban yang ditanggung kerajaan minoriti Umno-BN

Yang penting, bagi Kementerian Dalam Negeri dan menterinya Zahid Hamidi, mesej sudah disampaikan secara jelas kepada The Heat: Jangan usik isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan amarah dan kebencian rakyat kepada elit penguasa, apatah lagi membabitkan isteri tersayang Perdana Menteri!

Cuma, saya amat harapkan agar kempen membebaskan media, yang digerakkan beberapa teman melalui GERAMM misalnya, perlu diteruskan dengan momentum baru. Kongkongan, pembulian dan penindasan ini wajar ditamatkan meskipun isu The Heat bakal berakhir.

Sepanjang 15 kali penerbitannya, saya kira mingguan berkenaan telah berusaha mencapai satu kedudukan yang agak istimewa dalam dunia kewartawanan di negara ini. Pastinya bukan hanya saya seorang yang ternanti-nanti bagaimana bentuk laporan dan analisis The Heat selepas ia dibebaskan daripada penggantungan itu nanti.

Apakah ia bakal mengulangi nasib akhbar Watan dan The Star sendiri, selepas penggantungan permit dalam Operasi Lalang, Oktober 1098, ditarik balik? Terdapat syarat-syarat atau persefahaman tidak bertulis yang (terpaksa) dipersetujui sebelum keizinan terbit dikembalikan.

Penerbit The Heat berkata KDN memberi jaminan akan berlaku adil dalam mempertimbangkan rayuan penggantungan permit penerbitan akhbar tersebut. Satu kenyataan pengurusan The Heat, 23 Disember lalu menyebut, jaminan itu dibuat selepas pertemuan di antara pengarang akhbar itu dan pegawai-pegawai kementerian.

"Pihak pengarang bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini. Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," kenyataan itu dipetik.

Tertanya-tanya juga, adil yang bagaimana, ya? Adil sekiranya bersedia melunakkan kritikan dan teguran kepada elit penguasa, atau lebih khususnya lagi, jangan cuba usik isu-isu sensitif berkaitan Najib Razak, terutamanya gaya hidup mewah Wanita Pertama, Rosmah Mansor.

Suka saya mengulangi dan menekankan pengalaman berdepan pegawai KDN, termasuk bekas menterinya, Abdullah Ahmad Badawi (merangkap Timbalan Perdana Menteri waktu itu), membincangkan (sebahagiannya mendengar leteran) isu-isu berkaitan kandungan penerbitan yang dianggap bercanggah dengan mock-up asal dan menyentuh "persoalan sensitif".

Misalnya, pada hujung 1997, semasa menjadi Pengarang majalah Tamadun, saya, wartawan Suria Janib dan pemilik permit, Muttaqin Amaludin dipanggil menghadap pegawai kanan di Bahagian C, Unit Kawalan Penerbitan KDN di  Tingkat 11, Bangunan Arab Malaysia Bank, Jalan Lumut, Kuala Lumpur.

Pegawai berkenaan merujuk beberapa artikel Tamadun, antaranya wawancara dengan Ustaz Ismail Kamus, yang bertajuk "Anwar Ibrahim Silap? Antara Pendekatan Dakwah dan Menyatakan Hukum".
Kandungan interbiu itu disifatkan boleh mewujudkan suasana tidak tenteram dalam negara.

Malah, wawancara eksklusif saya dengan bekas Timbalan Presiden Semangat 46, Dr Rais Yatim, yang diberi tajuk "Rombak Sistem Kuasa" turut ditegur. Rupanya KDN lebih sensitif apabila saya memilih tajuk kecil di muka depan Tamadun, "Tumbangkan Kerajaan atau Tukar Sistem".

Tidak cukup dengan itu, wawancara kami bersama Mufti Perak, "Kontroversi KRU - P Ramlee: Kabinet Hina Majlis Fatwa" juga dijadikan kes oleh pegawai KDN berkenaan.

Kesimpulannya, saya  dan rakan-rakan "dibuli" semahunya dalam pertemuan tersebut. Bukankah KDN berkuasa mutlak, boleh "menghidup dan mematikan", justeru, semua penerbit akan kecut perut dan tidak berani mempersoalkan, apatah lagi membantah?

Yang pasti, KDN akan sentiasa cuba mengelak sedaya mungkin daripada mengemukakan surat tunjuk sebab yang boleh dikaitkan dengan isu-isu kontroversial. Penerbitan yang dilihat ghairah menimbulkan keburukan elit pemerintah atau mendedahkan salahlaku pemimpin BN yang korup akan digertak melalui kaedah lebih halus. Pengalaman saya mengendalikan tabloid Cabaran boleh dirujuk.

Namun begitu, kes pengharaman Detik lebih tragis. Majalah dua kali sebulan itu, yang pernah dicetak hampir 150,000 naskhah ketika kemuncak era reformasi, tidak diperbaharui permit hanya kerana tiga kesalahan yang lebih berbentuk teknikal.

Sebenarnya pembaharuan permit Detik sudah dikeluarkan pada 9 Disember 1999 bagi tempoh setahun (1 Disember 1999 sehingga 30 November 2000). Lazimnya, pihak Menteri Dalam Negeri menyerahkan tugas mengendalikan urusan permit majalah kepada pegawai kanannya. Menteri lebih berminat dengan permit akhbar.

Bagaimanapun, teguran yang timbul dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, sejurus selepas Pilihan Raya Umum 1999, dikatakan menjadi punca permit Detik itu segera ditarik balik. Dalam PRU10 itu, banyak kerusi Umno di kawasan majoriti pengundi Melayu jatuh kepada PAS (Barisan Alternatif).

Melalui surat KDN 1505(8757)(26) bertarikh 24 Disember 1999, dibutirkan tiga kesalahan Detik, yang membawa kepada pengharamannya:

1. Tidak mencetak alamat penerbit di majalah Detik.
2. Meletakkan permit penerbitan yang diberikan kepada Irrecon Corporation Sdn Bhd di bawah kawalan Penerbitan Pemuda.
3. Melantik Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman, tanpa memaklumkannya kepada KDN

Dalam surat kepada pegawai KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail, pada 28 Disember 1999, saya memohon maaf atas kesalahan pertama dan kedua, tetapi menafikan kesalahan kedua.

Malangnya, Detik tetap diharamkan. Di bawah saya, ia hanya sempat bernafas setahun sahaja. "Adiknya", Wasilah, majalah remaja, juga dipancung tanpa kasihan pada tahun yang sama.

Sengaja saya timbulkan semula sejarah silam itu untuk membuktikan bahawa alasan-alasan KDN, seperti juga dalam kes The Heat, sengaja diada-adakan.

The Heat menerima dua surat tunjuk sebab KDN bertarikh 27 November dan 2 Disember 2013, atas kesalahan teknikal tidak mendapat kelulusan menukar kategori penerbitan "ekonomi/sosial" kepada "isu semasa", sedangkan sebenarnya perubahan itu telahpun diizinkan lebih awal lagi, iaitu pada 18 September 2013.

Justeru, daleh apa lagi yang mahu dikemukakan KDN untuk mengongkong dan memperbudakkan warga media negara ini?

II.

Keresahan rakyat menjelang tahun baru tidak dapat dibendung lagi. Rata-rata, di mana-mana, bukan hanya di kota besar, malah di desa dan di pinggir bandar, hampir semua berbicara dan mengeluh tentang bebanan tinggi kenaikan sara hidup.

Ia bukan hanya menghimpit golongan miskin dan kelas bawahan, tetapi juga menekan perit kelas menengah rendah di bandar-bandar, yang mungkin tergolong sebagai pembayar cukai tetapi tidak layak menerima BR1M dan bantuan lainnya.

Kedaifan middle class, yang tertumpu misalnya sekitar Kuala Lumpurdan  Johor Bahru ini mungkin seperti dilupakan. Imbuhan bulanan isi rumah sekitar atau di bawah RM5,000 di kota raya tidak dapat melepaskan diri daripada perangkap kemiskinan bandar yang menyesakkan itu.

Kadar elektrik, barangan dapur, bahan bakar, tol, tambang bas (khususnya bas sekolah), LRT, komuter dan teksi, sewa rumah, cukai pintu, juga harga makanan (siap dimasak dan mentah) sehinggalah yuran Astro, semuanya meningkat. Ungkapan "tiada yang turun melainkan hujan", tidak menjadi jenaka lagi.

Justeru, saya cukup tertarik dan terpikat sekali dengan langkah sekumpulan anak muda, diterajui Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Azan Safar, yang menubuhkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).

Memang tepat pada masanya dan langkah praktikal itu melambangkan komitmen tinggi golongan aktivis pelajar untuk turun mendekati degup jantung rakyat yang berdetup kencang sekarang.

Turun akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup ketika sambutan ambang tahun baru 2014, khabarnya di Dataran Merdeka. NGO lain yang terbabit adalah Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Menurut laporan media pertengahan Disember lalu, Azan menegaskan, himpunan itu "sebagai suatu kuasa pendesak agar kerajaan dengar amaran rakyat dan fikir tentang kos sara hidup rakyat yang makin meningkat dan struktur semula kebajikan rakyat.”

Tiba-tiba dalam masa sama, media khususnya Utusan Malaysia dan TV3, mempromosikan secara luar biasa (tentunya dengan motif jahat) satu lagi gerakan, iaitu Himpunan Guling Kerajaan, dijadualkan pada tarikh dan tempat yang sama dengan Himpunan Turun.

Taktik lapuk ini tidak sukar untuk dikesan, bagi bertujuan memberikan gambaran jelik dan hodoh kepada usaha murni anak-anak muda Turun.

Strategi sama pernah digunakan media berkenaan menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, 12 Januari 2013, yang digelar Himpunan Shamsidar; satu propaganda terkutuk dan memalukan, sama sekali di luar batas etika dan adab.

Di tengah ibu kota, HKR berjalan secara aman dan lancar sekali. Tanpa gangguan polis dan FRU, langsung tidak timbul sebarang kekecohan. Dan cerita Himpuna Shamsidar itu lenyap begitu sahaja.

Turun sebenarnya digeruni pemerintah kerana ia erat berpadu bersama nurani rakyat yang resah-gelisah. Tidak hairanlah apabila himpunan itu dimomokkan sebegitu rupa, bagi menjauhkan rakyat dengan Turun, walhal yang berlaku adalah di sebaliknya.

Flash mob Turun di sebuah pusat membeli-belah, Mid Valley, Kuala Lumpur, 22 Disember lalu, makin menakutkan penguasa rakus. Sejumlah anggota polis mengejar dan merampas bahan-bahan yang digunakan dalam flash mob berkenaan, dan Azan serta rakan-rakannya turut dihalau keluar dari premis terbabit.

"Polis mengejar kami di sekitar pusat membeli-belah untuk memaksa kami keluar. Namun, Kami kembali di luar pusat membeli belah. Bagaimanapun, objektif flash mob telah kami capai," kata Azan. Mereka meneruskan demonstrasi di tepi jalan sekitar kawasan luar Mid Valley.

Sebelumnya, pada 20 Disember, Azan turut berucap dalam program "Faham GST, Lawan GST", di Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Pidatonya itu kemudiannya dikatakan berbaur hasutan, menggugat keharmonian, sekali gus menggugar sistem demokrasi berparlimen.

Begitulah selalunya. Pihak polis sering mencetuskan tindakan provokasi, yang sebenarnya memberi impak negatif kepada pemerintah.

Jam 11 malam, 23 Disember, ketika Azan dan rakan-rakan sedang makan di Kedai Makan Kak Som, di Kampung Baru, sepasukan tujuh anggota polis menyerbu dan menahannya. Lebih pelik tangkapan itu dibuat di bawah Siasatan Khas D9, yang dikatakan siasatan ke atas jenayah berat seperti penggunaan senjata api.

"Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah bebanan kos sara hidup rakyat menjelang 2014. Di manakah salahnya?" tegas Azan selepas dibebaskan di IPD Dang Wang, jam 7 malam, 24 Disember.

"Selain itu, saya disyaki terlibat dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menjelang 2014. Andaian serkap jarang dan tuduhan yang tidak berasas ini telah menampakkan ketempangan pihak berkuasa dalam proses pembuktian," ujar anak muda bersemangat waja itu.

Isu kenaikan kos sara hidup ini turut disentuh dengan baik oleh kolumnis Utusan, Salleh Buang, bekas profesor undang-undang, halaman 10, terbitan 24 Disember, bertajuk "Antara kesulitan rakyat dan minda menteri".

"... secara amnya kenaikan gaji rakyat kita (yang bekerja dengan majikan) adalah pada tahap 2.5% setahun sahaja, manakala kenaikan harga barang keperluan adalah lebih tiga kali ganda, iaitu 8.5% setahun," tulisan Salleh dipetik.

"Rakyat hairan bagaimana harga gula boleh naik tiga kali dalam tempoh kurang satu tahun. Kali pertama, harga gula naik adalah pada 6 Julai 2010, kali kedua pada 4 Disember 2010, manakala kali ketiga pada 9 Mei 2011. Alasan yang diberi oleh kerajaan adalah rasionalisasi subsidi.

"Rakyat negara ini tahu Malaysia adalah salah satu pengeluar gula utama dunia. Ada 4 buah kilang gula di negara kita, iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd (juga dipanggil Gula Prai), Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Rakyat juga tahu Raja Gula Malaysia, Robert Kuok, merupakan antara orang terkaya di negara ini dan di rantau Asia.

"Justeru, rakyat mahu tahu kalau Malaysia antara pengeluar gula utama dunia, bagaimana harga gula di negara ini boleh terus naik?"

Banyak lagi hujah dan contoh menarik dikemukakan Salleh.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722