THE MALAYSIAN INSIDER
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan tentang kebolehannya menyelesaikan kehilangan pesawat MH370 dilihat sebagai cuba mencuri tumpuan daripada tragedi tersebut dengan cara yang songsang, kata kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat.
Menurut Awang Selamat, Anwar semakin terdesak untuk meningkatkan imejnya selepas dijatuhkan hukuman lima tahun penjara, sehingga 'bercakap perkara tidak logik'.
"Ketika diwawancara oleh majalah Southern Weekly, Anwar mendakwa jika beliaulah Perdana Menteri Malaysia, isu kehilangan pesawat itu boleh diselesaikan dalam tempoh sesaat.
"Amboi, perkara yang mustahil jadi permainan bibir. Awang sudah tak larat goyang kepala menyentuh soal reputasi Anwar," tulis Awang Selamat dalam edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini.
Kolumnis tersebut menimbulkan beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan ketua pembangkang itu, termasuk isu pemilihan PKR serta jam tangan Omega yang gagal ditunjukkan kepada media, apatah lagi hendak mengendalikan kes lebih besar seperti MH370.
"Sebagai lanjutan kepada dakwaannya bahawa kerajaan menyembunyikan fakta dalam isu MH370, Anwar berjanji mahu mendedahkan lokasi sebenar pesawat MH370 dijangka Khamis ini.
"Sekiranya benar, beliau tahu, mengapa tidak dedahkan sekarang atau lebih awal," katanya.
Awang Selamat pada masa sama turut menyelar isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR kerana mengatakan kerjasama antara 26 negara dalam krisis MH370 hanya 'terpaksa semata-mata'.
Setakat ini, Malaysia menerima bantuan daripada 26 negara dalam misi mencari pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac, dan masih berjalan hari ini untuk mencari lokasi kotak hitam sebelum kehabisan baterinya.
Pakatan Rakyat (PR) yang beberapa kali ditangguh daripada menerima taklimat tentang MH370 sebelum ini menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat tentang pesawat tersebut serta mengkritik cara pengendalian kes tersebut oleh kerajaan.