Amirul Ashraff
SEPANG - Seramai dua orang wakil daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) bakal diserapkan ke dalam Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) di Australia dalam misi pencarian kotak hitam pesawat MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, satu perbincangan telah diadakan bersama Ketua JACC, Angus Houston dan melihat pihak kerajaan mereka begitu bersungguh-sungguh di dalam misi pencarian ini.
"Saya sempat berbincang bersama Angus Houston semalam berhubung pesawat MH370, saya dapati mereka bersungguh-sungguh dalam memastikan bahawa signal daripada kotak hitam MH370 ini akan terus diperhebatkan dan dikenalpasti.
"Saya ingin memberitahu bahawa dua wakil daripada DCA telah saya minta untuk diserapkan di dalam JACC di Australia," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, hari ini.
Tambah beliau, wakil jawatankuasa khas di peringkat kementerian termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan akan ke Australia didalam masa terdekat untuk berbincang bersama JACC bagi mengenal pasti langkah susulan yang boleh dilakukan dalam usaha pencarian MH370.
"Saya telah memberitahu kepada Angus Houston semalam, bahawa kemungkinan besar dalam masa terdekat ini, pengerusi jawatankuasa khas atau wakil mereka akan ke Perth untuk berbincang dengan pihak JACC untuk melakukan persiapan pada masa hadapan.
"Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh wakil Kementerian Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, Kementerian Pengangkutan, Datuk Aziz Karprawi dan Kementerian Pertahanan, Datuk Rahim Bakri untuk melihat daripada tiga aspek yang begitu penting iaitu isu berkaitan keluarga, aspek teknikal didalam SAR kita dan mengerah aset dimana MINDEF terlibat secara langsung," katanya lagi.