SHAH ALAM - Sukar bagi sebuah telefon bimbit menerima isyarat panggilan sekiranya berada dalam penerbangan pada ketinggian 5,000 kaki.
Pakar Penerbangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leftenan Kolonel (B) Mohamed Tarmizi Ahmad berkata, kemungkinan besar isyarat telefon bimbit mampu dikesan pemancar telekomunikasi seandainya pesawat berada pada ketinggian 2,000 hingga 3,000 kaki.
“Jika menggunakan telefon satelit, pemanggil mampu membuat panggilan di mana sahaja mereka berada tidak kira berapa ketinggian pesawat ketika penerbangan.
“Apa yang saya boleh katakan, pada ketinggian 2,000 kaki isyarat telekomunikasi juga sangat lemah dan pemanggil hanya mampu membuat panggilan sekiranya isyarat di kawasan berkenaan kuat,” katanya.
Menurutnya, syarikat telekomunikasi pasti menyimpan sebarang rekod panggilan yang dibuat oleh pelanggan mereka.
“Jadi, seandainya panggilan berjaya dibuat pada ketinggian 5,000 kaki, syarikat telekomunikasi pasti mempunyai bukti kukuh dengan data yang telah disimpan,” katanya.
Sebelum ini sebuah akhbar tempat melaporkan satu panggilan telefon yang telah dibuat oleh salah seorang anak kapal pesawat MH370 sewaktu pesawat itu terbang serendah 5,000 kaki di ruang udara Pulau Pinang pada hari kehilngan pesawat berkenaan.
Menurut laporan tersebut, sumber panggilan itu datangnya dari telefon bimbit milik pembantu juruterbang.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis telah merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak termasuk anggota keluarga penumpang dan anak dan anak kapal MH370 bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan