SHAH ALAM - Tempoh dua jam rundingan meja bulat bagi membincangkan kepincangan sistem pendidikan negara di antara Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sekadar penyedap hati sahaja.
SGMM melahirkan rasa kecewa dengan hasil perbincangan itu ekoran KPM didakwa memberikan maklumat yang salah berhubung sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR).
Selasa lalu, satu perbincangan antara KPM dengan SGMM berlangsung bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kepincangan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
"KPM telah memberikan maklumat salah dalam perbincangan meja bulat pada 24 Disember 2013 bersama SGMM.
"Mereka telah mempergunakan SGMM sebagai 'penyedap hati' kepada 58,000 'like' di Facebook ini. Ini sangat memalukan," kata Ketua Gerak Kerja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Menurutnya KPM memaklumkan bahawa tiada PBMSR sedangkan seluruh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah pun menjalankan mesyuarat berhubung sistem itu.
"Antara maklumat penting yang salah ialah tiada PBSMR. Sedangkan seluruh JPN telah menjalankan mesyuarat berkaitan PBSMR dengan guru-guru dan hanya beberapa subjek sahaja dijalankan peperiksaan.
"SGMM kecewa dengan KPM yang cuba mempergunakan SGMM sebagai 'penyedap hati'," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa SGMM akan tetap meneruskan kempen "Mansuh PBS dan SPPBS'.
"SGMM akan menghantar Memorandum Tegas Mansuh PBS kepada Perdana Menteri Malaysia berikutan putar belit KPM dalam perbincangan meja bulat tempoh hari," katanya.
Tambahnya, "SGMM menggunakan pendekatan profesional dengan KPM dengan harapan agar KPM profesional dengan SGMM dan rupanya tidak."