Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Posisi Malaysia di persada dunia?

$
0
0


Oleh LIEW CHIN TONG


KERAJAAN Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Razak nampaknya tidak lagi berminat untuk bersuara di persada antarabangsa. Kerajaan Najib tidak mempunyai pendirian terhadap isu-isu antarabangsa seperti penganiayaan Muslim Rohingya dan kudeta di Mesir.

Bukan sahaja kerajaan Malaysia hilang suaranya, malah Menteri Luar juga hilang ketokohannya.

Kerajaan Barisan Nasional nampaknya tidak ingin menyatakan pendirian yang jelas terhadap isu-isu antarabangsa yang sedang kita hadapi, misalnya isu Mesir. Sejak kerajaan sah Presiden Mohammed Morsi ditumbangkan pada Julai 2013, kerajaan Malaysia tidak mahu menyatakan pendirian yang tegas. Minggu lalu, 529 aktivis Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman mati, tetapi tiada suara kedengaran daripada kerajaan Malaysia.

Malaysia adalah Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum ini. Malah ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia kelihatan berjaya menampilkan dirinya sebagai pemimpin dunia Islam dan dunia ketiga. Hubungan luar Malaysia bermula dengan pendekatan konservatif, iaitu sikap “tidak campur tangan” ke atas hal-ehwal negeri lain. Kemudian kita mengorak selangkah ke depan, dengan menekankan jalinan hubungan yang membina (constructive engagement). Perkembangan terkini memperlihatkan kita kembali ke sikap “tidak campur tangan” dahulu.

Ketika zaman pemerintahan Mahathir, beliau kerap bersuara lantang di persada antarabangsa, sehingga satu dunia memberi perhatian untuk mendengar pandangan kita. Saya masih ingat apabila tragedi Bosnia berlaku, seluruh rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan. Suara kerajaan Malaysia lantang kedengaran di dunia.

Sekali imbas, selepas Tanah Melayu diterima masuk ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1957, salah satu tindakan kerajaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di peringkat PBB adalah mendesak PBB supaya bertindak ke atas Afrika Selatan yang mengamalkan dasar aparteid.

Selepas dibebaskan dari penjara, Nelson Mandela sering merasakan bahawa dirinya terhutang budi kepada Malaysia lantaran pendirian konsisten Malaysia dari era pemerintahan Tunku hinggalah ke Mahathir.

Kebisuan kerajaan Najib Razak di pentas antarabangsa disebabkan pendirian pro- Amerika Syarikat Perdana Menteri Najib berbanding dengan pendirian ‘non-aligned’ (berkecuali) yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin sebelumnya, iaitu Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saya bukan mencadangkan agar kerajaan menghantar tentera atau pasukan senjata ke mana-mana “hotspot”. Apa yang dikehendaki adalah Malaysia terus memainkan peranan kita sebagai “opinion leader” atau pemimpin pandangan di persada dunia.

Kerajaan Malaysia harus memposisikan negara kita sebagai satu “middle power”. Kita harus jadi satu negara yang berwawasan dan berdikari, pada masa yang sama bekerjasama dengan negeri-negeri lain tanpa tunduk kepada kuasa-kuasa besar.

Jelas, Malaysia tidak mengambil pendirian dalam isu kudeta Mesir kerana mengikut jejak langkah Amerika Syarikat yang enggan menyifatkan kudeta Julai 2013 itu sebagai kudeta, sambil menutup mata terhadap pembunuhan dan penganiayaan oleh rejim tentera.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722