Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Dr Mahathir ingat-ingat lupa rupanya

$
0
0

Oleh Shahbudin Husin


Setelah mengambil masa hampir dua minggu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengaku bahawa beliau memang berada di dalam negara ketika terjadinya peristiwa Memali pada 19 November 1985, sekaligus mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dalam sebuah diskusi politik di Kota Baru pada 27 Mac lalu.

Dalam tulisan di blognya, Dr Mahathir juga mengesahkan beliau hanya berlepas ke China pada 20 November iaitu sehari selepas tragedi tersebut.

Dr Mahathir bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dakwaan beliau berada di China itu bukan datang daripada pihaknya, bahkan dalam buku memoirnya juga tidak pernah menyebut perkara itu.

Sebelum ini ketika Musa membuat kenyataan di Kota Baru itu, Dr Mahathir meminta diberi masa untuk menyemak kebenaran apa yang dinyatakan oleh bekas timbalannya dengan alasan beliau tidak ingat mengenainya memandangkan ia sudah begitu lama berlaku.

Musa kemudiannya tampil dengan kenyataan akhbar yang panjang lebar untuk mengukuhkan lagi dakwaannya bahawa sememangnya Dr Mahathir berada di dalam negara, sambil mengatakan beliau bersama pemangku Ketua Polis Negara ketika itu juga sempat memberi taklimat mengenai Memali kepada Perdana Menteri.

Musa juga menyebut bahawa beliau memujuk Dr Mahathir agak membatalkan lawatannya ke China dengan tiga alasan iaitu kejadian Memali itu melibatkan Melayu dan Islam, berlakunya pula di negeri Kedah serta untuk menunjukkan keprihatinan dan ambil berat terhadap kejadian itu.

Bagaimanapun, menurut Musa lagi, Dr Mahathir menolak pujukannya dan meneruskan juga lawatannya ke China itu.

Namun demikian, Dr Mahathir mengatakan beliau tidak ingat bahawa Musa pernah memujuknya untuk tidak meneruskan lawatan itu.

Apa yang Dr Mahathir ingat ialah Musa ada menghantarnya ke lapangan terbang bersama ramai yang lain untuk mengucapkan selamat jalan kepadanya.

"Di ketika itu pun saya tidak ingat sama ada beliau ada menasihati saya supaya tidak pergi ke luar negara," tambah Dr Mahathir dalam tulisannya itu.

Di sebalik Dr Mahathir tidak pernah ingat sama ada Musa pernah memujuk atau menasihatinya agar tidak pergi ke China itu, beliau nampaknya ingat pula kehadiran bekas timbalannya di lapangan terbang itu.

Dr Mahathir juga dapat mengingati bahawa sebelum beliau ke China itu, beliau melantik Musa sebagai pemangku Perdana Menteri atas keyakinan bahawa timbalannya ketika itu dapat menangani keadaan.

Bahkan Dr Mahathir juga dapat mengingati sekembalinya beliau daripada China pada 28 November, tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di dalam negara.

Dr Mahathir juga masih ingat bahawa Musa mengakui beliaulah yang bertanggungjawab atas peristiwa Memali itu.

Di ketika Dr Mahathir masih dapat mengingati beberapa rentetan daripada peristiwa Memali itu, satu-satunya yang beliau tidak ingat ialah sama ada beliau pernah dipujuk atau dinasihati oleh Musa agar tidak meneruskan lawatannya ke luar negara itu.

Dalam usianya yang yang sudah menjangkau 89 tahun, sifat ingat-ingat lupa Dr Mahathir mungkin boleh difahami dan boleh juga diragui tetapi sekurang-kurangnya ingatan beliau lebih baik daripada beberapa orang yang lebih muda daripadanya, termasuk bekas Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang awal-awal menempelak Musa dan mengesahkan bahawa Dr Mahathir tiada di dalam negara ketika terjadinya peristiwa Memali itu.

Sifat ingat-ingat lupa ini juga barangkali bertepatan dengan ungkapan yang selalu disebutnya sebelum ini bahawa Melayu adalah bangsa yang mudah lupa.

Dengan pengakuan Dr Mahathir ini, walaupun beliau masih meletakkan beban tanggungjawab kepada Musa sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, sekurang-kurangnya sejarah baru mengenai Memali perlu ditulis semula setelah fakta sebenar mengenainya tersembunyi hampir 30 tahun lamanya.

Dengan pengesahan Dr Mahathir sendiri beliau berada di dalam negara ketika itu, persoalannya ialah apakah peranan beliau sebagai perdana menteri ketika itu? Apakah waktu itu perdana menteri hanya berdiam diri?

Walaupun setelah hampir 30 tahun berlalu, dengan perkembangan terbaru ini barangkali ada keperluan juga untuk ditubuhkan Siasatan Diraja untuk menyemak semula fakta Memali dan menarik semula kertas putih yang dibentangkan sebelum ini.

Melalui pengakuan Dr Mahathir ini, setidak-tidaknya nama Musa sedikit dibersihkan daripada persepsi dan tanggapan para penyokong PAS yang sebelum ini bulat-bulat menuduhnya bertanggungjawab atas peristiwa yang mengorbankan 14 orang yang diketuai oleh allahyarham Ibrahim Libya serta empat anggota polis.

Pengakuan Dr Mahathir ini juga tentunya melegakan Musa kerana ternyata beliau bercakap benar dan tidak berbohong.

Tetapi keseluruhan kejadian belum dijernihkan lagi. Segala-galanya kini terpulang kepada Najib dan kerajaan untuk mengambil tindakan seterusnya. – shahbudindotcom,

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722