MALAYSIAKINI
Ketua polis negara (IGP) dikritik meluas ekoran kenyataannya bahawa pasukan keselamatan itu terikat dengan kedua-dua undang-undang sivil dan syariah ketika mengulas kes pelarian anak dalam jagaan S Deepa.
Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, mereka tidak menyiasat kes itu ekoran terdapat dua arahan berbeza daripada dua mahkamah dan kedua-duanya mengikat.
Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) S Barathidasan (kanan) menyelar Khalid dengan bertanyakan mahkamah mana lebih tinggi di Malaysia.
“Polis tidak membentuk pasukan khas untuk berurusan dengan kesalahan syariah? Sekarang polis ikut arahan mana, sivil atau syariah?
Barathidasan berkata, beliau amat terkejut dengan kenyataan IGP itu.
“Adakah Khalid akan lakukan perkara sama jika (situasi) terbalik dan diculik oleh ibu Hindu?”
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan terhadap dua anaknya, sekali gus mengesampingkan keputusan Mahkamah Syariah tahun lalu yang memberikan hak itu kepada suaminya yang memeluk Islam pada tahun sama.
Hakim Zabariah Mohd Yusof memutuskan perkara itu kerana perkahwinan Deepa dengan N Viran @ Izwan Abdullah berdasarkan undang-undang sivil.
Dua hari selepas itu, suaminya dilapor melarikan anak mereka.