Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (dua kanan) selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2014 anjuran Yayasan Kemajuan Islam Nasional (Yakin) di Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian Online Oleh NIZAM ZAIN
KUALA LUMPUR - Pas digesa menyatupadukan parti komponen PR terlebih dahulu sebelum membawa usul hukum hudud ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen BN yang beragama Islam.
Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, kegagalan Pas memperoleh kesepakatan dalam PR untuk melaksanakan hukum hudud itu membuktikan parti itu cuba bermain sandiwara.
"Pas ada PKR dan DAP, tapi mereka sendiri tidak setuju (laksana hudud), kenapa dia datang kepada BN? Pas kena selesaikan dulu kesepakatan mereka dalam PR.
"Pas cuba bermain sandiwara supaya masyarakat lihat BN tidak betul jika BN tidak mahu ikut (sokong) hukum hudud, sedangkan Pas sendiri mahu selamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian Online selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2014 di Pusat Islam, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut gesaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada sebelum ini supaya Umno-BN terus konsisten untuk menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) akan dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.
Perkara itu juga mendapat respon positif daripada Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa semalam yang menyatakan kesediaan melobi 87 ahli parlimen BN beragama Islam bagi menyokong usul rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim menambah, jika usul tersebut diluluskan Parlimen, Pas perlu menjadikan pelaksanaan hukum jenayah syariat itu sebagai contoh terbaik dan tidak menjejaskan kehidupan orang bukan Islam di negara ini.
"Tunjukkan kepada masyarakat bukan Islam kewujudan hukuman ini tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam," katanya lagi.