KUALA LUMPUR: DAP hari ini mempertikaikan mengapa tiada pegawai Kementerian Pendidikan menyertai rombongan ‘Percutian Golf’ Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dubai.
Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dan Bukit Bendera Zairil Khir Johari dalam sidang media bersama mereka mempersoalkan tujuan kerajaan menghantar rombongan besar yang disertai oleh isteri TPM, seorang setiausaha peribadi, seorang setiausaha akhbar, dua setiausaha politik, empat pegawai khas, seorang pembantu peribadi, dan enam pengawal seperti yang didedahkan dalam sebuah laman blog kelmarin.
Menurut mereka, tindakan itu berlawanan dengan usaha mengurangkan kos bagi sektor awam, termasuk mencegah amalan berbelanja berlebihan dalam acara rasmi, seperti yang baru diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara semalam berikutan kebimbangan orang ramai terhadap inflasi yang berpunca daripada langkah kerajaan menaikkan harga petrol, tarif elektrik, gula dan komoditi lain.
“Apakah langkah menghantar 17 orang ke Dubai untuk percutian golf lima hari, diselit dengan sedikit kerja, adalah satu langkah penjimatan atau langkah bermewah?” soal Zairil.
Mereka menuntut kerajaan menyatakan kos keseluruhan lawatan tersebut, meliputi kos penginapan di hotel mewah dan “pesawat khas”.
Menurut kedua-dua Ahli Parlimen itu lagi, rakyat juga berhak tahu apakah ‘golf holiday’ berkenaan akan membawa manfaat kepada mereka terutama dari segi pendidikan atau perdagangan.
Kelmarin, blog peniupwisel2020.blogspot.com mendedahkan Muhyiddin telah berlepas ke Dubai menggunakan pesawat khas selama lima hari dari 8 hingga 12 April 2014.
Menurut dokumen yang didedahkan blog terbabit, tugas rasmi Muhyiddin di Dubai hanya mengambil masa beberapa jam sahaja, namun beliau memilih untuk tinggal di sana selama lima hari, dengan kebanyakkan masa dipenuhi dengan bermain golf, makan malam dan program peribadi. – Roketkini.com