KELAB GREENBOC
Pensyarah belum dipanggil bantu siasatan
ARAU - Polis belum memanggil pensyarah yang didakwa mencabul seorang pelajar perempuan dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron berkata, siasatan masih diteruskan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda atau boleh dikenakan sebatan atau kedua-duanya.
"Setakat ini kita hanya mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan. Bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.
Terdahulu, pelajar perempuan itu mendakwa terpaksa merelakan dirinya menjadi mangsa cabul pensyarah kerana bimbang digagalkan dalam subjek berkenaan.
Mangsa berusia 20 tahun itu terpaksa bertahan diperlakukan sedemikian selama beberapa bulan kerana bimbang jika perkara itu didedahkan, pensyarah berkenaan dengan sengaja menggagalkan subjek itu dalam peperiksaan akhir semester yang berakhir bulan lalu.
Bagaimanapun, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Arau sejurus selesai menduduki peperiksaan akhir semester.
Sumber berkata, kejadian terbaru berlaku pada 28 Mac lalu, ketika mangsa dan dua rakannya berada di bilik pensyarah yang juga pakar motivasi untuk mengulang kaji.
Difahamkan ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa bersama dua rakannya itu diminta datang ke biliknya sebelum pensyarah berusia 40-an itu duduk di sebelah mangsa.
Mangsa seterusnya mendakwa dicabul kehormatan termasuk diramas payudaranya oleh pensyarah itu. Mangsa didekati suspek dan dengan sengaja meraba bahagian kakinya hingga ke bahagian dada beberapa kali. -SH