nelayanGambar hiasan


KUALA LUMPUR - Segan dan malu, berkemungkinan menjadi faktor yang membelenggu nelayan di negara ini untuk menyatakan masalah mereka berkaitan hutang dengan orang tengah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata faktor itu melambatkan proses pengumpulan maklumat lengkap berkaitan nelayan untuk dibantu menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"Masalahnya sekarang ini ada juga nelayan yang kurang mahu ke hadapan untuk mengemukakan masalah mereka, kita tidak tahulah sebab apa, adakah harga diri atau pun berasa malu...jadi ini yang melambatkan proses (penyaluran bantuan pinjaman) ini.

"Kita harap apapun jangan malu dan jangan segan...kita harap nelayan bersedia untuk menceritakan masalah mereka dan dengan itu baru kita boleh membantu mereka," katanya di persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang ingin tahu mengenai kejayaan program memerangi orang tengah dan kesannya kepada rakyat dan nelayan.

Kementerian sebelum ini mengumumkan pendekatan agresif untuk membantu nelayan membebaskan diri daripada orang tengah dengan mengambil alih hutang nelayan sebanyak RM40 juta, menerusi bantuan TEKUN.

Hasil kajian mendapati kebanyakan 47,000 nelayan Zon A dan Zon B berhutang dengan orang tengah menyebabkan mereka terikat dan terpaksa menjual hasil kepada pihak berkenaan.

Tajuddin berkata setakat ini Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Nelayan (negeri) sedang menyediakan senarai nelayan yang berhutang dan jumlah hutang tertunggak dengan orang tengah.

"Kita belum dapat angka penuh dan minta Nekmat dan persatuan nelayan untuk menyegerakan (senarai) supaya memastikan mereka (nelayan) ini dibebaskan daripada cengkaman orang tengah)," katanya. - Bernama