Oleh: Basyar Ab Kadir
KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan membawa dua ekor panda dari negara China dengan kos RM25 juta adalah tidak masuk akal dan merupakan pembaziran berulang, kata Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Shari.
Yahya berkata, pembaziran tersebut jelas bertentangan dengan seruan kerajaan yang menggesa rakyat supaya berjimat cermat ketika kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Memang tidak masuk akal, belanja untuk dua ekor panda sampai RM25 Juta.
“Kerajaan kononnya nasihati rakyat supaya bejimat cermat, tetapi dalam masa sama membawa panda dengan harga RM 25 juta. Itu menunjukkan satu contoh bahawa kerajaan ini tidak berjimat langsung, ” katanya.
Kata Yahya, tindakan itu jelas merupakan keputusan kurang bijak apabila melibatkan kos terlalu tinggi, sedangkan pulangannya belum tentu berhasil.
“Saya tidak nampak perbelanjaan RM25 juta ini akan memberikan pulangan kerana hanya melibatkan 2 ekor panda dan tidak semua orang akan menyumbang dan berbelanja untuk ini.
“Ini satu contoh pembaziran yang diulang-ulang dan tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel sebelum ini berkata Malaysia menerima kehadiran dua panda gergasi berkenaan dari Chengdu, China pertengahan bulan ini.
Pasangan panda yang dinamakan Fu Wa dan Feng Yi itu akan dipinjam selama 10 tahun dan diletakkan di Kompleks Giant Panda di Zoo negara.
Manakala kos pembinaan eksibit dianggar RM25 juta. Daripada jumlah itu, RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bakinya oleh kerajaan.
Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Nazree Yunus berkata, kerajaan perlu menyemak semula dana yang dikeluarkan untuk pasangan panda berkenaan.
Menurutnya, keutamaan harus diberi kepada rakyat di kala mereka dihambat dengan bebanan pelbagai kos sara hidup akibat penarikan balik subsidi minyak dan kenaikan harga barangan.
“Perbelanjaan ini harus disemak semula. RM25 Juta boleh dilakasanakan bagi membantu anak muda dengan bantuan yang munasabah.
“Bagi saya ia satu pembaziran, banyak perkara lain yang boleh dilakukan dengan hambatan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup,” ujarnya