KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) menegaskan, kempen anjuran NGO tersebut tidak ada kena mengena dengan himpunan menggulingkan kerajaan seperti yang diuar-uarkan media arus perdana.
“Gerakan TURUN memperjuangkan isu-isu rakyat yang berkaitan kenaikan kos sara hidup dan menafikan sekeras-kerasnya penglibatan Turun dengan himpunan menggulingkan kerajaan.
“Pendirian (kami) sebelum ini untuk terus turun ke jalanan memprotes kenaikan harga barang pada malam 31 Dis 2013 yang tetap diketuai oleh saudara Azan Safar,” kenyataan Turun dipetik.
“Sehingga kini, Azan Safar masih tidak dibebaskan. Pihak polis masih mempunyai masa sehingga jam 11 malam untuk soal siasat,” tambah kenyataan Turun.
Ahli jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad berkata, Himpunan 31 Disember tidak ada kaitan dengan usaha menggulingkan kerajaan dengan kekarasan.
“Ini fitnah dahsyat yang sengaja direka kerajaan dan penyokong Umno-BN untuk berikan persepsi negatif,” kata Khalid.
Kata Khalid, propaganda yang ditimbulkan media dan penyokong Umno-BN adalah rancangan menggagalkan himpunan dan secara tidak langsung bertujuan menimbulkan suasana yang tidak aman dan boleh mendatangkan kekecohan.
“Kita tegas. Himpunan tersebut hanya untuk menyatakan bantahan kepada keputusan kerajaan yang terus menekan rakyat dengan kadar kenaikan yang melampau serta pelaksanaan GST yang tidak sepatutnya,” jelasnya, lapor Harakahdaily.