MSTAR ONLINE
Agensi berita itu turut melaporkan sebuah pesawat tentera udara China ternampak beberapa objek berwarna putih terapung di kawasan pencarian pada Sabtu.
Pesawat itu turut merakam gambar objek tersebut selepas ia dijumpai pada pukul 11.05 pagi waktu tempatan.
Seorang juruterbang warga Australia yang berada dalam pesawat itu melaporkan maklumat itu kepada Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia yang menyelaraskan pencarian multinasional di selatan Lautan Hindi.
Pesawat itu yang berlepas pada pukul 6.04 pagi, merupakan yang pertama meninggalkan lapangan terbang antarabangsa Perth pada Sabtu untuk operasi mencari pesawat MH370.
Ia tiba di kawasan pencarian, kira-kira 2,700 kilometer dari Perth, pada pukul 9.55 pagi.
Misi pencarian sukar akibat keadaan cuaca yang mendung dan gelombang setinggi satu hingga dua meter.
Pesawat itu kembali ke lapangan terbang kira-kira pukul 2 petang.