KUALA LUMPUR - Sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada tiga pasukan akan ditubuhkan sebagai langkah sampingan bagi membantu misi mencari MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pasukan khas yang ditubuhkan itu akan disertai pakar siasatan khas dari beberapa buah negara.
"Beberapa negara akan menghantar wakil mereka untuk menyertai pasukan khas ini.
"Antara negara yang akan terlibat ialah United Kingdom, Malaysia, Australia dan China," katanya.
Jelasnya lagi, pasukan pertama akan menumpukan siasatan ke atas struktur, sistem, rekod servis dan kemaskini pesawat, pasukan kedua akan memeriksa rekorder pesawat, operasi dan rekod meteorologi, manakala pasukan ketiga akan memfokuskan siasatan kepada rekod perubatan, faktor psikologi dan patologi penumpang dan krew MH370 serta faktor-faktor ketahanan untuk hidup.